UMNO Selangor tak dapat manfaat

Oleh – Syeikh Baran


UMNO Selangor tak dapat manfaat
Datuk Hasnal Rezua Merican

Keberadaan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai menteri dan di dalam barisan kepimpinan UMNO Selangor adalah strategik yang seharusnya menjadi dorongan kepada agenda kebangkitan semula UMNO di negeri ini.

Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Hasnal Rezua Merican berkata, bagaimanapun UMNO Selangor tidak mendapat manfaat daripada kedudukan strategik beliau semasa menjawat posisi Bendahari UMNO Selangor.



Menurutnya, jadual padat sebagai menteri yang sarat dengan tanggungjawab mungkin menjadi kekangan Tengku Zafrul menghadiri mesyuarat serta libat urus selain program dan aktiviti yang dijalankan UMNO Selangor.

“Justeru, naratif yang kini didendangkan bahawa UMNO Selangor tidak mempunyai hala tuju serta saranan-saranan untuk mengembalikan kegemilangan seperti yang dilantunkan Tengku Zafrul adalah agenda yang tidak pernah dibentang untuk diwacanakan secara ilmiah.

“Sebagai Ketua-Ketua UMNO Bahagian yang secara tekun dan taat menghadiri mesyuarat, kami mempunyai visi dan pandangan yang jelas mengenai agenda kebangkitan, penjenamaan dan peremajaan UMNO Selangor,” katanya menerusi kenyataan akhbar mewakili Ketua-Ketua UMNO Bahagian Negeri Selangor.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas berhubung peletakan jawatan Tengku Zafrul sebagai Bendahari UMNO yang disiarkan menerusi Facebook beliau bertajuk ‘Apa hala tuju UMNO Selangor?’



Hasnal berkata, pihaknya berlapang dada dengan penegasan Tengku Zafrul bahawa beliau masih komited dengan UMNO Kota Raja dan UMNO Selangor yang menampakkan ada harapan untuk mencari titik persamaan.

“Mutakhir ini, UMNO Selangor berada pada tahap disiplin dan solidariti yang tinggi. Ia mewujudkan suatu iklim yang kondusif untuk persepakatan.

“Kami, Ketua-Ketua UMNO Bahagian Selangor yang tidak memegang sebarang jawatan eksekutif berdiri teguh di belakang kepimpinan Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin,” katanya.

Sumber – SINAR HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button