Lelaki keluar kayu, ugut pemandu kereta kena tahan

Besut: Polis menahan penunggang motosikal yang video mengenainya tular selepas menunjukkan kayu terhadap pemandu kereta bertujuan untuk menakutkannya, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, lelaki itu ditahan sekitar daerah ini kira-kira 1 pagi, Sabtu.

Menurutnya, polis turut merampas barang kes untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.



“Pada Jumaat (12 Mei lalu), polis mengesan satu video dimuat naik pemilik akaun Facebook ‘Suci Fatehah’ yang menunjukkan lelaki menunggang motosikal dan bertindak menakutkannya dengan mengeluarkan satu batang kayu daripada dalam baju.

“Situasi itu menyebabkan pemandu yang juga lelaki berasa terancam dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut pada hari sama,” katanya hari ini.

Difahamkan, kejadian berlaku pada 10.55 pagi di Pengkalan Nyireh, Besut dan insiden dirakam kamera papan pemuka (dashcam) kereta itu.

Dalam video tular berkenaan, penunggang motosikal itu memakai helmet biru dan berpakaian serba hitam dilihat bukan sahaja cuba memintas kereta, malah mengeluarkan kayu dipercayai untuk mengugut pemandu.



Bagaimanapun, dia kemudian meletakkan kayu ke bawah dan mula menunggang motosikal ke tepi jalan apabila mendapati kenderaan terbabit mempunyai dashcam.

Wajahnya sempat dirakam oleh penumpang yang berada di dalam kereta terbabit.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button