Pengurusan Kelantan FC tiada berperikemanusiaan

Kuala Lumpur: Pengurusan Kelantan FC diakui tiada sifat berperikemanusiaan dengan majoriti pemain skuad itu berada dalam tekanan hidup yang dihimpit komitmen bulanan ekoran kegagalan mendapatkan gaji penuh setiap bulan.

Situasi itu nyata menekan pemain-pemain skuad The Red Warriors (TRW) pada setiap hujung bulan yang terdesak untuk meneruskan kelangsungan hidup, malah ada diantara mereka kehilangan kereta selepas ditarik oleh pihak bank.

Arena Metro berjaya mendapatkan penjaga gol Kelantan FC, Farhan Abu Bakar yang berkongsi kisah sedih apabila gaji tertunggaknya tidak dibayar penuh, sebaliknya dia diminta oleh pihak pengurusan untuk memohon duit pendahuluan “advance”.

Katanya, tindakan untuk memohon wang pendahuluan itu agak pelik kerana TRW ada tertunggak bayaran gaji bulan April.



“Pada Khamis lalu nama saya tiada dalam senarai pasukan ke Kuala Terengganu untuk perlawanan Piala FA, jadi saya bergerak ke KL (Kuala Lumpur) dari Kota Bharu untuk menghantar anak dan isteri balik ke KL.

“Saya sampai di KL pada jam 8 pagi hari Jumaat. Lepas itu saya masukkan anak dalam rumah, buatkan susu dan tukar pampers. Selepas beberapa minit lepas saya keluar rumah tengok-tengok kereta dah hilang.

“Saya hubungi bank dan mereka sahkan menarik kereta saya. Selepas itu saya hubungi Boszam (pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman) untuk meminta bantuan sebab sebelum ini dia pernah cakap dan buat posting di Facebook, di mana kalau perlukan duit boleh ‘call’ saja dia.

“Bila saya call, dia cakap tak nampak saya betul ke saya ada dalam pasukan. Saya terkejut sebab saya hari-hari berlatih bersama pasukan dan banyak gambar-gambar saya diambil pihak media pasukan dimuat naik di laman sosial pasukan.



“Kemudian dalam pukul 11 malam hari Jumaat itu juga, gaji masuk tapi pengurusan bayar separuh saja untuk gaji bulan April. Gaji saya cuma RM5,500 saja sebulan, jadi mereka hanya bayar RM2,750 saja.

“Kalau nak ikutkan mana cukup untuk saya ambil balik kereta kerana saya kena bayar RM3,960 untuk ambil balik dari pihak bank. Jadi bila saya hubungi bahagian kewangan pasukan, mereka boleh pula suruh saya mohon ‘advanve’, sedang yang saya minta itu gaji saya.

“Itu baru cerita pasal diri saya, belum lagi pemain-pemain lain. Saya boleh cakap, tak ada satu pun benda baik yang saya boleh kongsi pasal pengurusan. Dia seolah tak ada berperikemanusiaan ada juga pasukan-pasukan lain yang saya main sebelum ini berdepan masalah gaji, tapi mereka ada sikap perikemanusiaan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Situasi sama turut dialami seorang lagi pemain yang enggan namanya dikongsikan apabila mengakui dilayan seperti dirinya tiada harga diri.

Dia yang sudah menamatkan kontrak dengan Kelantan FC pada hujung Mac lalu, mendedahkan dirinya disingkirkan daripada pasukan kerana hanya mempersoalkan mengapa gaji dibayar lewat.

“Saya sertai Kelantan FC bermula 3 Januari 2023 dan itu latihan pertama saya sertai. Gaji lewat itu biasalah, tapi bila tak masuk hingga hujung bulan Februari saya dah mula bertanya.

“Bila saya bersuara, pengurusan tak boleh terima dan ada sedikit pertelingkahan. Pengurusan suruh mohon ‘advance’, kenapa pula saya perlu mohon benda itu sedangkan gaji saya tak dibayar.

“Akhirnya Norizam tamatkan kontrak saya dan saya setuju saya dah dapat kesemua tunggakan tiga bulan itu. Nasib baik saya ambil langkah awal tinggalkan pasukan, kalau tidak mungkin lebih parah lagi,” katanya.

Ujarnya lagi, pendedahan bekas jurulatih dari Korea Selatan, Choi Moon-sik mengenai layanan tidak profesional pengurusan memang benar terutama soal kebajikan dan pemakanan.

“Pernah masa kami nak makan, cuba bayangkan kami hanya dihidangkan nasi putih dengan satu tray yang ada telur, tapi telur itu hanya ada satu jaa telur kuning dengan selebihnya telur putih jaa..

“Memang menyedihkan boleh jaa pengurusan tak payah sediakan makanan untuk kami dan kami boleh makan di luar, tapi nak makan kat luar macam mana kalau tak ada duit,” kata pemain berpengalaman itu.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker