Dagangan borong, runcit meningkat 15.2 peratus pada Oktober

KUALA LUMPUR: Jualan perdagangan borong dan runcit Malaysia berkembang kukuh 15.2 peratus kepada RM133.9 bilion pada Oktober 2022, demikian mengikut perangkaan terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkatan yang dicatatkan itu disumbangkan oleh subsektor perdagangan runcit yang meningkat RM12.0 bilion atau 26.0 peratus kepada RM58.3 bilion.

Beliau berkata, perdagangan borong dan kenderaan bermotor juga masing-masing berkembang sebanyak 7.3 peratus kepada RM59.9 bilion dan 11.2 peratus kepada RM15.7 bilion.



“Bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan perdagangan borong dan runcit menyusut 0.1 peratus disumbangkan oleh subsektor kenderaan bermotor dan perdagangan borong yang menurun masing-masing sebanyak -3.5 peratus dan -0.3 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengenai prestasi mengikut subsektor, dimaklumkan pertumbuhan subsektor perdagangan runcit sebanyak 26.0 peratus pada Oktober 2022 disokong oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang meningkat 25.7 peratus atau RM4.4 bilion kepada RM21.6 bilion.

Subsektor perdagangan borong mencatatkan kenaikan 7.3 peratus disumbangkan oleh lain-lain pengkhususan jualan borong yang berkembang 3.1 peratus atau RM0.7 bilion kepada RM22.7 bilion.

Mohd Uzir menjelaskan pertumbuhan 11.2 peratus dalam subsektor kenderaan bermotor bulan itu disumbangkan oleh jualan alat ganti dan aksesori kenderaan bermotor, sebanyak 49.2 peratus atau peningkatan RM1.3 bilion kepada RM4.0 bilion.



Beliau berkata, indeks jualan runcit melalui internet untuk Oktober 2022 merekodkan pertumbuhan 17.3 peratus tahun ke tahun berbanding 16.6 peratus pada September 2022.

Bagi indeks volum, perdagangan borong dan runcit bagi Oktober 2022 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 10.5 peratus, disumbangkan oleh perdagangan runcit dan kenderaan bermotor yang meningkat masing-masing 22.3 peratus dan 3.0 peratus.

Perdagangan borong juga mencatatkan pertumbuhan positif 0.8 peratus, namun bagi indeks volum pelarasan musim, ia menurun 2.3 peratus bulan ke bulan.

BHOnline




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading