Gunung Marapi meletus, muntahkan abu sejauh 3 km
Gunung Marapi meletus, muntahkan abu sejauh 3 km
Jakarta: Gunung Marapi, gunung berapi paling aktif di Pulau Sumatera, meletus pada 2.54 petang (waktu tempatan) Ahad, menyebabkan hujan abu di daerah Agam di Sumatera Barat dan pihak berkuasa menasihatkan orang ramai memakai pelitup muka.
Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Geologi Indonesia (PVMBG) melaporkan letusan itu memuntahkan abu mengandungi bahan gunung berapi sehingga tiga kilometer (km) dari kawah puncak, diiringi bunyi gemuruh.
Peningkatan aktiviti gunung berapi di gunung setinggi 2,891 meter itu berterusan sejak awal tahun ini dan status amaran ditetapkan pada tahap dua.
Jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Kebangsaan Abdul Muhari berkata, tidak ada laporan mengenai kemalangan jiwa atau kerugian harta benda dan aktiviti masyarakat tidak terjejas.
Menurut seorang pegawai di agensi operasi bencana, Agam Ade Setiawan, hujan abu gunung berapi berlaku di Nagari Lasi, mukim Canduang.
“Hujan abu gunung berapi agak tebal dan gelap tetapi ia kini mula berhenti,” tambahnya.
Pihak berkuasa tempatan menasihatkan orang ramai untuk memakai pelitup muka semasa keluar rumah, membersihkan bekalan air dan bumbung daripada abu gunung berapi untuk mengelakkan ia runtuh.
Gunung Marapi meletus pada 8 September 1830, dan sekali lagi pada 30 April 1979 menyebabkan sekurang-kurangnya 60 kematian.
Ia menunjukkan peningkatan aktiviti dari akhir 2011 hingga awal 2014 dan meletus pada 26 Februari 2014, mengeluarkan bahan gunung berapi ke Agam dan Tanah Datar.
Gunung Marapi meletus, muntahkan abu sejauh 3 km
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- Kemenangan Besar PRK Kemaman Bakal Lenyapkan Legasi Nik Aziz Dalam PAS
- Sudah Sampai Masanya Hamzah Serahkan Jawatan Ketua Pembangkang Kepada Dr Sam
- Warga Israel Merayu Supaya Kerajaan Israel Membawa Pulang Mayat Keluarga Mereka
LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :