Pengarang Sarawak Report mohon ketepikan ganti rugi

Oleh – Syeikh Baran


Pengarang Sarawak Report mohon ketepikan ganti rugi

Pengarang Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown dan dua yang lain memohon kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengarahkan mereka membayar ganti rugi RM300,000 kepada Sultanah Nur Zahirah kerana memfitnah Sultanah Terengganu itu.



Dua lagi pihak ialah penerbit Gerakbudaya Enterprise, Chong Ton Sin dan syarikat pencetakan Vinlin Press Sdn Bhd.

Peguam Haikaldin Mahyidin yang mewakili ketiga-tiga pihak berkata, permohonan kebenaran itu difailkan pada 10 Januari lalu, yang pada asasnya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan.

“Pengurusan kes pula ditetapkan pada 13 Februari ini.

“Ada beberapa persoalan perundangan akan dibangkitkan berhubung kes ini yang membabitkan kepentingan awam,” katanya.



Pada 12 Disember lalu, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail, yang bersidang bersama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azhahari Kamal Ramli, mengarahkan pembayaran itu dibuat secara sebulat suara.

Ia selepas panel hakim terbabit membenarkan rayuan Sultanah sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Azhahari Kamal berkata, pihaknya mengambil kira beberapa faktor dalam memberi ganti rugi itu termasuk kurang penyesalan.

Pada 31 Oktober 2022, Mahkamah Tinggi menolak saman baginda terhadap Rewcastle-Brown, Chong Ton Sin dan Vinlin Press Sdn Bhd berhubung dakwaan fitnah dalam buku bertajuk ‘The Sarawak Report-The inside IMDB Expose’.



Sultanah Nur Zahirah memfailkan saman pada 21 November 2018, dengan mendakwa kenyataan dalam buku itu antara lain bermaksud baginda terbabit rasuah dan campur tangan dalam pentadbiran kerajaan Terengganu.

Selain itu, Sultanah Nur Zahirah dikatakan menggunakan statusnya untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudiannya dikenali 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam pernyataan tuntutan, Sultanah Nur Zahirah meminta ganti rugi am RM100 juta daripada setiap pihak dan perintah supaya penerbit menarik balik buku yang mengandungi kenyataan fitnah serta pencetak berhenti mencetak buku berkenaan.

Sumber – Harian Metro




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading