Tarif air tidak beban pengguna – Syarikat Air Darul Aman

Oleh – Syeikh Baran


Tarif air tidak beban pengguna - Syarikat Air Darul Aman

Syarikat Air Darul Aman (SADA) akan melaraskan kadar tarif baharu bagi pengguna domestik mulai 1 Februari ini.



Syarikat utiliti itu dalam kenyataan berkata, kadar tarif baharu itu akan dikenakan kepada pengguna mulai pada bil Mac 2024.

Katanya, tarif baharu itu ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melalui kajian Mekanisme Penetapan Tarif yang mengambil kira kos perbelanjaan operasi dan kos perbelanjaan modal syarikat.

“Pelarasan kadar tarif ini perlu dilaksanakan bagi menjamin kelestarian perkhidmatan dan bukan bersifat keuntungan. Sumber kewangan yang kukuh dan mencukupi membolehkan SADA membangunkan projek infrastruktur air yang mampan, sekali gus menambah-baik liputan bekalan air di seluruh Kedah.

“Dana tambahan yang diperoleh daripada pelarasan kadar tarif ini akan dilaburkan semula oleh SADA untuk kos perbelanjaan modal yang dirancang bagi memastikan kesinambungan bekalan dan perkhidmatan serta memenuhi permintaan bekalan air yang terus meningkat saban tahun,” katanya di sini, hari ini.



Beliau berkata, pada 2024, SADA memperuntuk RM60.91 juta untuk perbelanjaan operasi dan perbelanjaan modal bagi tujuan pembangunan serta pengukuhan aset air dengan memberi tumpuan kepada pembinaan infrastruktur baharu, penyelenggaraan aset mekanikal dan elektrikal serta penggantian sistem perpaipan yang usang.

“Secara keseluruhan, impak pelarasan tarif baharu ini tidak akan membebankan pengguna. Sebagai contoh, bagi penggunaan air 10 meter padu dan ke bawah, kenaikan yang dikenakan RM1.50 sahaja.

“SADA tetap memahami kesempitan ekonomi yang ditanggung sebahagian pengguna di Kedah. SADA masih melaksanakan program subsidi air bersasar kepada pengguna yang berada dalam kategori miskin tegar dan berdaftar dengan sistem eKasih,” katanya.

Syarikat itu berkata, SADA akan memastikan pelarasan kadar tarif selari dengan peningkatan dari aspek mutu perkhidmatan yang memberi manfaat berterusan kepada pengguna.



Sumber – Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button