Tubuh Badan Kawal Selia Ekonomi Gig demi kebajikan pekerja

Oleh – Syeikh Baran


Tubuh Badan Kawal Selia Ekonomi Gig demi kebajikan pekerja

Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia (PPRPM) menggesa kerajaan menyegerakan penubuhan Badan Kawal Selia Ekonomi Gig demi menjaga kebajikan penggiat ekonomi gig terutama penggiat p-hailing susulan penurunan kadar upah kepada penunggang.



Penasihat PPRPM, Bryan Ng Yih Miin, berkata persatuan itu juga menggesa kerajaan mengambil langkah jangka pendek bagi menangani isu berkaitan kadar upah.

“Isu penurunan kadar upah adalah isu berulang dan menjadi dilema buat penunggang p-hailing. Isu itu juga pernah disuarakan penunggang p-hailing kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam program Temu Anwar di Petaling Jaya, Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yih Miin berkata, susulan perjumpaan itu, satu pertemuan dan perbincangan bersama-sama syarikat penyelia p-hailing dengan Perdana Menteri, Menteri Pengangkutan, Menteri Sumber Manusia dan Menteri Komunikasi dan Multimedia diadakan di Pejabat Perdana Menteri.

“Dalam perbincangan itu semua syarikat yang turut serta bersetuju mengkaji semula kadar penerimaan upah diterima penunggang mereka. Namun, isu penurunan kadar upah ini masih berlaku kepada penunggang p-hailing.



“Penurunan kadar upah dilakukan syarikat adalah keputusan secara tergesa-gesa tanpa berbincang dan merujuk kepada penunggang. Malah keputusan dibuat syarikat sangat tidak menghormati perbincangan bersama Perdana Menteri,” katanya.

Yih Miin berkata pihaknya kecewa dengan Grabfood Malaysia yang didakwa memperkenalkan kadar upah baharu membabitkan penurunan drastik.

“Kami menggesa Grabfood mengembalikan semula kadar upah kepada kadar asal serta merta. Ini kerana kadar upah diberikan saat ini sangat rendah dan pengiraan kadar upah tidak jelas,” katanya.

Beliau berkata selagi tiada akta khusus diwujudkan oleh kerajaan berkaitan ekonomi gig p-hailing, isu berkaitan akan terus berlarutan dan hanya pihak kerajaan yang boleh merangka dan mengeluarkan dasar atau garis panduan meliputi keseluruhan ekosistem ekonomi gig p-hailing.



Sementara itu, Grabfood Malaysia menolak dakwaan pihak mereka menurunkan kadar upah, sebaliknya syarikat itu menyelaraskan bayaran asas dan menaikkan elaun serta insentif kepada penunggang.

Dalam satu kenyataan kepada BH hari ini, Grab Malaysia berkata pihaknya menyusun semula yuran penghantaran dan rangka kerja bonus syarikat itu berkuat kuasa Selasa lalu untuk memastikan tempahan yang memerlukan lebih banyak masa dan usaha akan mendapat pampasan lebih adil.

“Langkah ini diambil setelah merujuk kepada maklum balas terbaru rakan kongsi penghantaran kami mengenai tempahan yang membabitkan masa menunggu lebih lama di kedai peniaga atau pengambilan yang lebih jauh.

“Selain daripada melaraskan tambang asas, kami akan meningkatkan bayaran bonus untuk tempahan sedemikian yang memerlukan lebih banyak masa dan usaha untuk diselesaikan.



“Kami menjangkakan rangka kerja yuran dan bonus baharu akan memanfaatkan rakan kongsi penghantaran kami yang paling aktif yang bekerja keras untuk memenuhi pesanan pengguna yang mencabar seperti pesanan yang memerlukan lebih banyak usaha untuk diselesaikan,” katanya.

Menurut Grab Malaysia, penambahbaikan terbaru ini memaksimumkan pendapatan dan mengurangkan masa menunggu peniaga dengan melancarkan ciri yang memastikan ketibaan rakan kongsi di kedai lebih tepat pada masanya apabila makanan atau produk sudah siap.

“Kami akan menaikkan bonus pengambilan jarak jauh sebanyak 20 hingga 30 peratus dan rakan kongsi akan diberi pampasan yang lebih baik untuk perkhidmatan mereka ketika tempoh permintaan tinggi, dengan penekanan yang lebih pada Tambang Puncak, Bonus Prestasi dan Bonus Mingguan,” katanya.

Sumber – Berita Harian




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading