Bimbang impak kenaikan bil air

Oleh – Syeikh Baran


Bimbang impak kenaikan bil air

Pelarasan tarif air dengan kenaikan purata 22 sen bagi setiap meter padu di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan bermula 1 Februari ini mengundang rasa bimbang orang ramai.



Tinjauan Harian Metro di sekitar ibu kota mendapati, ramai pengguna tidak bersetuju dengan pelaksanaan pelarasan tarif air terbabit.

Mohamad Alief Iqbal Saidin, 26, berkata, kenaikan 22 sen bagi setiap meter padu sedikit sebanyak memberi kesan termasuk kepadanya sebagai penuntut universiti.

“Secara peribadi, kenaikan tarif air akan memberi kesan kepada saya yang menyewa kerana penggunaan air di rumah sewa tinggi disebabkan ramai penghuni.

“Saya mungkin perlu menyesuaikan penggunaan air supaya bil air bulanan tidak meningkat secara mendadak,” katanya.



Eksekutif sebuah syarikat swasta, Shahirah Azmi, 30, berkata, dia tidak bersetuju dengan kenaikan tarif air sebanyak 22 sen yang akan menambahkan lagi beban kos sara hidup.

“Memandangkan keadaan ekonomi kurang baik dan saya perlu menampung keluarga kecil, jadi ia sedikit membebankan saya jika kenaikan ini berlaku.

“Diharapkan, pihak yang terbabit membuat kajian semula sebelum melaksanakan pelarasan ini,” katanya.

Sementara itu, jurujual pakaian, Limah Mohamad, 48, mengambil sikap neutral berkaitan pelarasan tarif air berkenaan.



“Saya peka berkenaan dengan pelaksanaan ini dan mungkin pihak yang terbabit dengannya lebih pakar dalam hal ini.

“Mungkin ia berbaloi selaras dengan perkhidmatan yang akan disalurkan seperti air yang lebih bersih kepada pengguna.

“Saya berharap pelarasan yang dibuat tidak membebankan rakyat di masa hadapan dan kajian semula setiap tiga tahun untuk keberkesanannya dapat dilakukan dengan amanah,” katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) pada kenyataan berkata, di bawah Mekanisme Penetapan Tarif (‘Tariff Setting Mechanism-TSM’), struktur dan komponen tarif akan diseragamkan untuk negeri di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan.



Pelarasan tarif air domestik itu membabitkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.

Manakala tarif air akan dikaji semula setiap tiga tahun untuk memastikan keselarasan dalam penentuan bayaran.

MCCF saran tangguh pelarasan

Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) mengesyorkan kerajaan menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) untuk menangguhkan dahulu cadangan melaksanakan pelarasan tarif air bagi pengguna kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan berkuat kuasa 1 Februari ini.



Pengerusinya, Datuk Seri Halim Ishak menyedari keperluan pelarasan tarif air di bawah Mekanisme Penetapan Tarif yang penting untuk jangka masa panjang.

Bagaimanapun, Halim menyifatkan waktu pelaksanaannya kurang tepat berikutan keadaan ekonomi semasa.

“Apa jua yang membebankan rakyat, kita tidak sokong kerana kos sara hidup kini meningkat.

“Tidak lama lagi, kita akan menyambut Tahun Baru Cina disusuli Ramadan serta Aidilfitri. Bukan hanya pengusaha dobi, pusat cuci kereta atau kedai makan saja terkesan tetapi tetapi masyarakat secara amnya.



“Tapi kita faham juga keperluan pelarasan namun minta ada perbincangan semua pihak berkaitan dan kalau boleh, dapat kata putus yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya dihubungi Harian Metro.

Tambahnya, kerajaan juga boleh memanfaatkan teknologi yang ada dalam mendapatkan sumber air lebih murah.

“Ada teknologi canggih malah satu daripadanya ialah guna udara untuk hasilkan air. Jadi, ia mungkin boleh jadi alternatif untuk mendapatkan sumber bekalan air bagi disalurkan kepada pengguna,” katanya.

Sumber – Harian Metro


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading