‘Mat Pet’ ditahan pecah rumah kontraktor

Oleh – Syeikh Baran


‘Mat Pet’ ditahan pecah rumah kontraktor

Seorang lelaki tempatan dengan 15 rekod lampau jenayah dan dadah dicekup selepas disyaki memecah masuk sebuah rumah di Bandar Baru Ampang dan melarikan sebuah kereta Proton Saga, di sini, Isnin lalu.



Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan terbabit daripada pemilik rumah berusia 28 tahun, yang bekerja sebagai kontraktor.

“Laporan dibuat pengadu pada pukul 7.30 pagi, Isnin lalu selepas mendapati pintu hadapan rumahnya dan pintu jeriji besi dalam keadaan terbuka.

“Pengadu melakukan pemeriksaan dan mendapati dompet mengandungi dokumen penting, wang tunai dan kunci kereta Proton Saga tiada di atas meja bahagian ruang tamu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, suspek berusia 29 tahun berjaya ditahan di Bandar Baru Ampang, di sini, pukul 7 malam Selasa.



“Kita merampas sebuah kereta Proton Saga berserta kuncinya, pelbagai jenis kunci, tujuh gulung wayar dan satu dompet mengandungi dokumen penting bagi membantu siasatan.

“Hasil ujian air kencing terhadap suspek mendapati positif Methamphetamine dan Amphetamine.

“Suspek yang menganggur itu juga mempunyai 15 rekod lampau jenayah dan dadah,” jelasnya.

Tambahnya, suspek kini direman bagi siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (pecah rumah) dan Seksyen 379A akta sama (curi kenderaan).



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button