Isu masuk Parlimen pun masih gagal ditangani!

Oleh – Syeikh Baran


Isu masuk Parlimen pun masih gagal ditangani!
WARGA Rohingnya memenuhi kedai kopi di Melor, Ketereh. FOTO Syaherah Mustafa

Isu lambakan etnik Rohingya di Mukim Melor di sini pernah bergema di Parlimen agar penyelesaian jangka panjang dapat dirangka demi melindungi rakyat.

Bahkan, beberapa operasi penguatkuasaan juga sudah dijalankan di kawasan terbabit dalam membanteras sebarang salah laku mahupun jenayah membabitkan etnik itu.



Bagaimanapun, Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Mejar Jeneral (B) Khlir Mohd Nor berkata, suasana ‘aman’ hanya sementara sahaja kerana dalam tempoh beberapa minggu kemudian, golongan itu kembali ‘besar kepala.’

Beliau yang menjadi wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu berkata, menyuarakan rintihan rakyat berhubung isu itu pada persidangan Dewan Rakyat tahun lalu.

“Saya mengharapkan tindakan lebih tegas diambil pihak berkuasa seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam isu ini.

“Selain itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu merangka strategi seperti menubuhkan satu kem untuk mengumpulkan etnik Rohingya di satu tempat, sebelum dihantar pulang ke negara mereka.



“Mereka ini ada yang dilihat menyalahgunakan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), justeru, harus dibanteras segera agar tidak memudaratkan masyarakat setempat,” katanya ketika dihubungi.

Khlir berkata, beliau menghargai usaha penguatkuasaan yang sudah dilakukan setakat ini namun berharap ada tindakan yang lebih tegas diambil sebelum masalah menjadi parah.

“Insya-Allah pada 26 Februari nanti, saya akan sekali lagi menyuarakan isu ini di Dewan Rakyat, dengan harapan dapat membuka mata kerajaan untuk mengambil langkah tegas sebelum kita ‘dijajah’ Rohingya.

“Tambahan pula, ada penduduk tempatan didakwa menjadi dalang yang menyebabkan etnik Rohingya selesa di sini. Bukan sahaja memberikan mereka rumah sewa, malah peluang pekerjaan.



“Berdasarkan aduan yang diterima, penduduk lain bukan tidak mahu melaporkan, tetapi takut kerana mendakwa golongan ini ‘berbahaya’,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan Mohd Misuari Abdullah berkata, operasi dilaksana pihaknya sebelum ini banyak mengesan pemandu warga asing.

Katanya, terdapat 196 kenderaan disita yang masih belum dituntut, dengan 90 peratus kes membabitkan pemandu etnik Rohingya.

“Pemilik kenderaan tidak tuntut kerana sedar menyewakan atau memberi pinjam kenderaan kepada warga asing adalah suatu kesalahan.



“Jika didakwa di mahkamah, pemilik boleh didenda dengan kes sebelum ini pernah mengakibatkan pesalah didenda RM2,000 manakala warga Rohingya didenda RM4,000,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus menggerakkan operasi serampang dua mata bagi membanteras pemandu warga asing yang melakukan kesalahan dan mendidik masyarakat supaya lebih peka.

Harian Metro semalam melaporkan keluhan penduduk mengenai kebanjiran etnik Rohingya yang didakwa membina ‘penempatan’ di kawasan Mukim Melor.

56 tangkapan jenayah babit Rohingya



Sebanyak 56 tangkapan direkodkan membabitkan pelbagai kes jenayah dalam kalangan etnik Rohingya di seluruh Kelantan sepanjang tahun lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun, berkata jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan berbanding 2022 dengan hanya 35 tangkapan.

Katanya, antara kesalahan paling tinggi dengan catatan masing-masing sebanyak 11 kes ialah kesalahan melakukan pecah rumah di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) dan kesalahan mencuri (ragut) di bawah Seksyen 379 KK.

“Di daerah Kota Bharu sahaja, polis menerima 16 laporan bagi kes jenayah etnik Rohingya dengan pecahan dua kes Seksyen 431A KK iaitu mencuri kabel, tujuh kes Seksyen 379/380 KK kerana meragut atau mencuri dalam rumah kediaman dan dua kes Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.



“Manakala, selebihnya masing-masing satu kes di bawah Seksyen 325 KK iaitu menyebabkan kecederaan parah dengan sengaja, Seksyen 457 kerana melakukan pecah rumah, Seksyen 363 kerana menculik mana-mana individu keluar dari Malaysia atau memisahkanya daripada penjaga yang sah dan 302 KK kerana membunuh.

“Khusus di Melor, Ketereh, polis menerima dua laporan membabitkan kes Seksyen 302 KK yang telah dituduh di mahkamah,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, semalam.

Muhammad Zaki berkata, satu lagi kes disiasat di bawah Seksyen 379 KK yang mana OKT dituduh di mahkamah dan dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun.

“Pemantauan berkala oleh Unit Rondaan Bermotosikal (URB), unit peronda polis (MPV) dan anggota sektor balai-balai di bawah pentadbiran Ketua Polis Balai Kok Lanas dan Melor diteruskan daripada masa ke semasa.

“Cawangan Khas daerah turut diarahkan untuk menyalurkan risikan berkaitan isu membabitkan Rohingya demi memastikan penduduk tempatan berada dalam keadaan selamat dan aman,” katanya.

Menurutnya, polis Kelantan juga mengekang jenayah melalui operasi bersepadu di kawasan membabitkan warga Rohingya seperti kes gangguan seksual, rogol, pergaduhan serta kes penipuan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading