Laksanakan dahulu pemansuhan skim pencen wakil rakyat – Akmal

 

Oleh Pena Merah

Laksanakan dahulu pemansuhan skim pencen wakil rakyat - Akmal
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh

Pergerakan Pemuda UMNO menggesa cadangan pemansuhan pencen wakil rakyat dilaksanakan terlebih dahulu sebelum melaksanakannya kepada penjawat awam.

Ketuanya Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, semua pihak memahami tekanan kewangan yang ditanggung kerajaan ketika ini.



“Tidak adil jika kita mansuhkan pencen mereka (penjawat awam), tetapi kita (wakil rakyat) pula menikmati pencen sehingga akhir hayat.

“Tiada dua darjat antara wakil rakyat dan rakyat,” katanya hari ini.

Muhammad Akmal berkata, pihaknya percaya atas prinsip kepimpinan melalui tauladan.

“Mohon cadangan ini diambil kira dan dipersetujui semua wakil rakyat sama ada dari kerajaan atau pembangkang,” katanya.



Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam berkata, Kabinet bersetuju supaya perjawatan bagi penjawat awam baru kerajaan berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen.

Satu pengumuman mengenai tempoh dan tarikh pelaksanaannya akan dibuat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).

Ahmad Zahid berkata, bagi penjawat awam tetap sedia ada, status berpencen mereka tidak pun terjejas, sementara penjawat awam baru itu kelak akan membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Media sebelum ini melaporkan, pengambilan secara lantikan kontrak dalam perkhidmatan awam adalah langkah interim (bersifat sementara) ke arah pelaksanaan kaedah baharu lantikan tetap pegawai awam yang akan membabitkan pindaan akta berkaitan.



Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan memaklumkan pegawai yang dilantik menerusi lantikan kontrak (interim) akan dilantik secara tetap menerusi kaedah baharu di bawah sistem saraan perkhidmatan awam yang akan dimuktamadkan kelak.

Sementara itu, ketika ditemui selepas mengetuai lelongan haiwan ternakan terbiar di Pejabat Pembangunan Pertanian Melaka, Semujuk di sini hari ini, Dr Muhammad Akmal berkata cadangan Pemuda UMNO supaya pemansuhan skim pencen dimulakan dalam kalangan wakil rakyat, akan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu, malam esok.

Katanya, ini kerana pandangan serta cadangan daripada pergerakan itu penting yang sewajarnya dipertimbangkan oleh Kerajaan Perpaduan ketika ini.

“Saya akan membawa isu ini ke dalam Mesyuarat MKT malam esok. Pemuda tegas mahu perkara ini dipertimbangkan semula kerana tidak adil untuk penjawat awam yang sudah berkhidmat lebih 40 tahun untuk mendapatkan pencen (selepas bersara) berbanding wakil rakyat yang hanya sepenggal (lima tahun) berkhidmat sudah terima pencen.



“Kita mahu memastikan kebajikan rakyat kebanyakan, khususnya bekas penjawat awam sentiasa dijaga,” katanya.

-Berita Harian-


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading