Briged Sukarelawan IPT sedia berkhidmat

Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad (tengah) bergambar bersama tetamu program KPT Prihatin-Tuah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Sejahtera Bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali di Ayer Keroh, Melaka malam tad

Oleh Rohana Man

 



AYER KEROH – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menggalakkan lebih ramai mahasiswa menyertai Briged Sukarelawan IPT #KPTPrihatin yang ditubuhkan bagi membantu dan mengukuhkan kesiapsiagaan negara bagi menghadapi apa sahaja bentuk bencana alam termasuk banjir.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, usaha itu akan membantu kesiapsiagaan agensi kerajaan menghadapi bencana tersebut pada bila-bila masa, sepanjang tahun.

Menurutnya, dalam bencana banjir yang berlaku pada penghujung tahun lalu di beberapa buah negeri, kita dapat melihat betapa pentingnya peranan sukarelawan dalam membantu mangsa banjir.

Katanya, pelbagai pihak turun padang membantu termasuk daripada kalangan pelajar IPT seluruh negara.



“Tahun lalu, kita ada kira-kira 20,000 sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa dan tahun ini, kita harap ramai lagi sukarelawan daripada kalangan pelajar IPT dapat menyertai briged sukarelawan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program KPT Prihatin -Tuah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Sejahtera bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali di sini, malam tadi.

Turut hadir Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar dan Naib Canselor UTeM, Prof. Dr. Massila Kamalrudin.

Selain itu, majlis berkenaan turut merangkumi Penyampaian Peranti Siswa, Penyerahan Inisiatif, Anak Emas UTeM, Sumbangan Akaun Simpanan SSPN Prime dan Pelancaran Tuah Care Food Campus.



KPT menubuhkan Briged Sukarelawan IPT #KPTPrihatin, sebagai langkah untuk menambah baik pengurusan kesukarelawanan IPT pada masa akan datang.

Penubuhan briged itu adalah untuk menyelaras aktiviti dan program kesukarelawanan yang dikendalikan Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia di semua institut pengajian tinggi (IPT) seluruh negara agar lebih terancang dan teratur.

Noraini berkata, selain memberi bantuan, kerja-kerja kesukarelawan itu juga akan mendidik semangat keprihatinan yang tinggi dalam diri mahasiswa, selain menghulurkan khidmat bakti kepada masyarakat setempat.

Malah beliau yakin dengan adanya penyelarasan itu, ia dapat meningkatkan tahap kesiapsiagaan semua pihak terhadap sebarang bencana yang tidak diduga.



“KPT melalui IPT sentiasa bersedia menyumbangkan aset dan tenaga barisan hadapan negara pada masa akan datang,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, setakat ini penyertaan briged itu melibatkan 20 universiti awam (UA), selain beberapa universiti swasta yang akan diselaraskan Majlis Sukarelawan Universiti-universiti Malaysia.

“Tahun ini, kita harap penyertaan lebih ramai. Sasaran itu lebih mudah kerana ramai pelajar sudah pulang ke kampus, berbanding tahun lalu, pembelajaran adalah melalui Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian.

“Jadi, mereka boleh membantu komuniti dalam menghadapi monsun Timur Laut yang dijangka bermula November ini,” katanya.



Sementara itu, Prof Dr. Massila dalam ucapannya berkata, bantuan yang dilancarkan itu sejajar dengan slogan ‘Tahun 2022 Tahun Kebajikan Pelajar’.

Menurutnya, UTeM menerusi Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan kesejahteraan dan kemakmuran pelajar, khususnya daripada kumpulan B40.

“Antara inisiatif ini adalah Food Bank @ UTeM yang telah mendapat kerjasama baik dari beberapa agensi tempatan seperti
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, mYaPEIM serta pemberian bantuan komputer riba dan peranti.

“Pemberian kupon makanan TUAH Care Food @ Campus pula sejajar dengan pengenalan Menu Keluarga Malaysia. Menu Keluarga UTeM juga dilaksanakan, selain tajaan kos pengajian dan sara hidup di bawah inisiatif Anak Emas UTeM,” katanya.




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading