JPJ sita lori seludup minyak diesel bersubsidi

Oleh – Syeikh Baran


JPJ sita lori seludup minyak diesel bersubsidi
Mohd. Firdaus Shariff melihat tangki minyak diesel dalam sebuah lori yang disita sewaktu operasi bersepadu di Lebuh AMJ dekat Cheng, Melaka. UTUSAN/AMRAN MULUP

Sebuah lori yang telah diubah suai untuk aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi berjaya disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam operasi bersepadu di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) di sini malam tadi.

Pengarahnya, Mohd Firdaus Shariff berkata, sewaktu pemeriksaan terhadap lori berkenaan pihaknya menemukan sebuah tangki kosong bersaiz besar dipercayai untuk diisi minyak diesel.



Menurutnya, kenderaan terbabit yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30-an dipercayai dalam perjalanan untuk mengisi diesel di stesen minyak berdekatan.

“Bila kita periksa ada sebuah tangki besar yang mampu mengisi sebanyak 3,000 liter diesel tetapi ia didapati kosong.

“Kenderaan ini melakukan kesalahan pengubahsuaian kenderaan di mana ia meletakkan tong minyak diesel dan muatan itu tak sesuai untuk kenderaan ini dan kita akan semak secara teknikal beberapa kesalahan lain,” ujarnya selepas tamat operasi di sini malam tadi.

Firdaus berkata, pemandu terbabit juga turut melakukan kesalahan kerana tidak memiliki lesen pengangkutan barang (GDL) dan lori berkenaan disita di bawah Seksyen 12 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 atas kesalahan mengubahsuai tanpa kebenaran.



Katanya, kes tersebut akan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka untuk tindakan lanjut.

Dalam ops bersepadu itu beliau berkata, sebanyak 275 saman dikeluarkan terhadap 132 pemandu dan penunggang motosikal kerana melakukan pelbagai kesalahan.

“Motosikal kekal menjadi kenderaan paling banyak dikenakan tindakan saman iaitu 71 buah atas kesalahan tiada cukai jalan, lesen dan ubah suai kenderaan,” ujarnya.

Dalam operasi selama tiga jam yang berakhir 11 malam itu, sebanyak 755 kenderaan persendirian dan perdagangan diperiksa.



Seramai 86 pegawai dan anggota terbabit dalam operasi berkenaan selain JPJ turut membabitkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Imigresen.

Sumber – UTUSAN


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading