Mekanik terlepas hukuman mati

Oleh – Syeikh Baran


Mekanik terlepas hukuman mati
S. Raja (tengah) bersama ahli keluarganya selepas dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh daripada pertuduhan mengedar dadah dan memiliki racun, empat tahun lalu.

Seorang mekanik menarik nafas lega apabila terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepaskan dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine dan memiliki racun nitrazepam empat tahun lalu.

Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet membuat keputusan itu terhadap S. Raja, 45, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.



Bapa kepada dua anak itu dilepaskan dan dibebaskan tanpa dipanggil untuk membela diri.

Dalam penghakiman beliau, Bhupindar Singh berkata, pihak pendakwaan telah gagal membuktikan pemilikan beg hitam yang dijumpai di lokasi serbuan sekali gus telah menimbulkan keraguan bagi pemilikan beg berkenaan.

Menurut beliau, beg hitam itu kemungkinan milik seorang lelaki dikenali Kishore Kumar yang telah datang ke rumah tertuduh pada 21 November 2020 dan keluar sehari kemudian antara pukul 3.30 hingga 4.30 petang.

“Kishore Kumar telah ditangkap pada 22 November 2020 pada 5.45 petang di tepi Jalan Panglima Bukit Gantang namun tiada dadah yang dijumpai sebelum serbuan dijalankan di rumahnya yang turut tidak menemukan dadah.



“Berdasarkan keterangan pendakwaan, jelas Kishore Kumar mempunyai akses ke bilik di mana beg hitam dijumpai. Bagaimanapun, Kishore Kumar tidak dipanggil sebagai saksi oleh pihak pendakwaan dan ini menyebabkan terdapat kelompongan dalam kes pendakwaan,” katanya.

Tambah Bhupindar Singh, mahkamah juga mendapati, pihak pendakwaan telah mengemukakan dua keterangan berbeza apabila keterangan saksi pendakwaan ke-6 (SP-6) iaitu pegawai tangkapan bercanggah dengan keterangan pegawai tangkapan SP-7.

“Selain itu, mahkamah juga mendapati pegawai penyiasat kes atau SP-8 telah menjalankan siasatan secara sambil lewa apabila tidak merakam percakapan saksi lain serta tidak mempunyai pengetahuan mengenai Kishore Kumar,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button