Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

Oleh – Syeikh Baran


Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS
Gambar Hiasan

RINGGIT ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini sejajar dengan kebanyakan mata wang serantau selepas wujud kemungkinan Rizab Persekutuan AS (Fed) akan mengekalkan pendirian untuk mengehadkan kadar faedah dalam tempoh yang agak panjang.

Bagaimanapun, mata wang tempatan itu diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain hari ini.



Pada jam 6 petang, ringgit berada pada 4.7845/7885 berbanding dolar AS daripada 4.7600/7665 yang dicatatkan semalam.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, mata wang serantau kebanyakannya lemah berbanding dolar AS berikutan cetakan indeks harga pengguna (CPI) Amerika Syarikat (AS) terkini untuk Januari adalah lebih tinggi daripada jangkaan.

“Ini menunjukkan bahawa Fed tidak akan melonggarkan dasar monetari mereka secepat mungkin kerana mereka tidak yakin bahawa sasaran inflasi dua peratus mereka boleh dicapai dalam tempoh terdekat.

“Sehubungan itu, ringgit dijangka kekal lemah dan ini akan meletakkan dolar AS pada paras selesa memandangkan permintaan terhadap dolar AS dijangka kukuh,” katanya kepada Bernama.



Ahli ekonomi itu berkata, pada tahap sekarang, paras rintangan semasa berada pada RM4.7958 manakala paras sokongan terletak pada RM4.6611.

Pada penutupan, mata wang tempatan menambah nilai berbanding yen Jepun kepada 3.1757/1786 daripada 3.1827/1872 yang direkodkan semalam, ia juga mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.9983/6.0033 daripada 6.0243/0325 dan meningkat berbanding euro kepada 5.1185/1227 daripada 5.1256/1326.

Sementara itu, ringgit kebanyakannya diniagakan rendah berbanding mata wang ASEAN lain, tetapi meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.2366/2535 daripada 13.3240/3478 pada penutup semalam.

Ringgit menyusut berbanding peso Filipina kepada 8.52/8.54 daripada 8.50/8.52, jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.5441/5473 daripada 3.5377/5428 dan agak lemah berbanding rupiah Indonesia kepada 306.5/307.0 daripada 305.0/305.6 sebelumnya. – Bernama



Sumber – SINAR HARIAN


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading