‘Jangan kaitkan saya dengan permainan politik’ – Ratu Naga

Oleh – Syeikh Baran


'Jangan kaitkan saya dengan permainan politik' - Ratu Naga
Aktivis politik Perikatan Nasional (PN), Syarul Ema Rena Abu Samah

Aktivis politik Perikatan Nasional (PN), Syarul Ema Rena Abu Samah atau dikenali sebagai Ratu Naga yang dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam tidak mahu dikaitkan dengan permainan politik mana-mana pihak.

Syarul Ema berkata beliau dipanggil ke pejabat SPRM kerana ada usaha cuba mengaitkan beliau dengan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.



“Jangan kaitkan saya dengan permainan politik anda, cukup-cukuplah,” katanya dalam satu video yang dikongsikan di Tiktok.

Syarul Ema berkata ketika pegawai SPRM hadir ke rumahnya semalam, beliau beranggapan siasatan itu berkaitan dua laporan SPRM yang dibuatnya sebelum ini.

“Saya ada membuat dua laporan SPRM pada 8 Januari berkenaan kertas Pandora yang berkaitan dengan (Datuk Seri Dr) Ahmad Zahid Hamidi dan laporan pada 15 Januari lalu yang dibuat terhadap Perdana Menteri.

“Sepanjang di sana saya tidak dibenarkan bertemu peguam saya, walaupun beliau berada di sana,” katanya.



Syarul Ema berkata beliau cuba dikaitkan dengan Shamsul Iskandar namun tidak mengulas secara terperinci mengenai perkara itu.

Semalam Syarul Ema dilaporkan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di rumahnya jam 9 pagi.

Penahanan Syarul Ema disahkan peguamnya, Nabila Khairuddin ketika dihubungi BH.

Beliau memaklumkan, sepasukan lima pegawai SPRM menyerbu kediaman anak guamnya di Jalan Klang Lama, di sini kira-kira jam 9 pagi sebelum dibawa ke Putrajaya.



Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dilaporkan berkata, Syarul Ema tidak ditahan sebaliknya hanya diambil keterangan bagi membantu siasatan satu kes mengikut Seksyen 16 Akta SPRM.

Sumber – BERITA HARIAN


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading