SPRM beri Mirzan Mahathir 30 hari lagi

Oleh – Syeikh Baran


SPRM beri Mirzan Mahathir 30 hari lagi
Mirzan Mahathir.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi tempoh 30 hari lagi kepada anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengisytiharkan harta.

Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki yang berkata, tempoh lanjutan diberikan seperti dimohon ahli perniagaan terbabit, Mirzan Mahathir.



“Kami memberinya lanjutan selepas beliau memohon masa tambahan untuk mengisytiharkan hartanya,” katanya ringkas.

Pada bulan lalu, media melaporkan, SPRM mengeluarkan perintah notis mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 terhadap Mirzan.

Mirzan dikehendaki mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada dalam pegangannya, sama ada dalam atau luar negara dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis itu.

Perintah itu adalah tindakan susulan siasatan SPRM berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama serta aktiviti perniagaannya yang membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan (GLC).



Siasatan dijalankan di bawah Akta SPRM 2009 juga Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

SPRM sudah memulakan siasatan sejak Ogos 2022 terhadap semua entiti berkait dan dinamakan dalam laporan Kertas Pandora, juga Kertas Panama.

SPRM sedang mengkaji dokumen kewangan serta pemilikan aset entiti yang tersenarai dalam laporan-laporan itu dan siasatan masih dijalankan.

Bagaimanapun, lanjutan itu dipercayai hanya diberikan kepada Mirzan manakala adiknya Mokhzani masih perlu mematuhi notis asal 30 hari itu.



SPRM telah menyerahkan notis kepada Mirzan dan Mokhzani di bawah Seksyen 36 Akta SPRM untuk memaksa mereka membuat pengisytiharan harta dalam tempoh 30 hari. Tempoh asal notis itu sepatutnya tamat pada pertengahan bulan ini.

Sebelum ini dilaporkan bahawa SPRM memanggil Mirzan dan Mokhzani untuk disoal siasat bulan lepas, walaupun asas sebenar siasatan mereka tidak jelas.

Pada 6 Feb lalu Azam berkata SPRM belum menerima sebarang maklum balas dan mengatakan Mirzan dan Mokhzani boleh didakwa jika gagal mengisytiharkan harta mereka kepada agensi itu.

Berikutan itu, kedua-dua beradik itu mengeluarkan kenyataan akhbar pada 8 Feb bagi meminta SPRM ‘bersabar’ dan mengatakan bahawa adalah usaha yang mustahil untuk mengumpulkan maklumat selama 43 tahun.



Menurut Mirzan dan Mokhzani, SPRM telah meminta senarai aset sejak 1981, iaitu tahun pertama Mahathir menjadi perdana menteri.

Sumber – BERITA HARIAN


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading