‘Siapa yang tak puas hati…? – Nur Jazlan

Oleh – Syeikh Baran


'Siapa yang tak puas hati...? - Nur Jazlan
Ahli MKT merangkap Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed

Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor minggu lalu tidak menyentuh isu EXCO kerajaan negeri perlu dibarisi ketua atau ahli jawatankuasa parti dari peringkat bahagian.

Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata pada mesyuarat dipengerusikan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, 11 Februari itu, tiada isu mahukan lebih ramai EXCO negeri terdiri daripada Ketua UMNO bahagian.

Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap dilantik sebagai Pengerusi UMNO Johor pada 7 Disember lalu menggantikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Pertahanan.



Nur Jazlan yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, menegaskan sekiranya mahu UMNO negeri membuat ketetapan berhubung sesuatu isu, ia perlu dibuat dalam mesyuarat terbabit.

Memaklumkan tidak tahu mengenai desas-desus ketua bahagian tidak berpuas hati dengan rombakan EXCO kerajaan negeri pada Selasa lalu, Nur Jazlan mempersoalkan bagaimana isu berkenaan tercetus dan siapa yang tidak berpuas hati.

“Saya tak tahu desas-desus ini (ketua bahagian tidak puas hati rombakan EXCO negeri) datang dari mana, siapa yang tak puas hati?

“Minggu lalu, kita ada mesyuarat perhubungan negeri, isu ini tidak ditimbulkan. Mesyuarat bersama Onn Hafiz, tiada isu mengenai hal ini ditimbulkan masa itu. Tak ada isu bahawa ketua bahagian mahukan lebih ramai wakil mereka sebagai EXCO timbulkan dalam mesyuarat itu.



“Apabila keputusan diumumkan (senarai EXCO baharu), saya tak tahu siapa yang rasa tak puas hati. Setakat ini barisan EXCO terdiri orang muda yang berpendidikan, terpulang kepada mereka tunjukkan prestasi,” katanya.

Beliau yang ditemui pemberita semasa Sambutan Tahun Bahru Cina 2024 Majlis Bandaraya Iskandar Puteri di Taman Perling di sini hari ini, bagaimanapun menegaskan, EXCO yang dilantik perlu menghormati kepimpinan ketua bahagian kerana mereka yang menjalankan kerja mendamaikan akar umbi.

“Sekiranya tidak berlaku, ia akan menyukarkan matlamat kerajaan negeri daripada tercapai. Jadi kalau EXCO yang dilantik tidak prihatin dan tidak peka dengan keperluan ketua bahagian dalam usaha hendak mendamaikan akar umbi, saya takut matlamat kerajaan negeri tidak akan tercapai,” katanya.

Semalam, sebuah portal berita memetik sumber, mendakwa beberapa ketua UMNO bahagian di Johor tidak senang dengan rombakan EXCO dan portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, kerana menurut mereka, pemimpin lain lebih layak tidak mendapat tempat dalam barisan pentadbiran negeri.



Menurut laporan itu lagi, rombakan berkenaan sepatutnya melibatkan lebih ramai ahli yang ada jawatan di peringkat bahagian, sekali gus mendesak pentadbiran negeri menggugurkan EXCO yang tidak memegang jawatan pada peringkat bahagian.

Tiga daripada 10 EXCO yang dilantik Onn Hafiz adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak memegang jawatan di peringkat bahagian.

Sumber – BERITA HARIAN




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading