Didakwa duduki tanah kerajaan tanpa kebenaran

Oleh – Syeikh Baran


Didakwa duduki tanah kerajaan tanpa kebenaran
TERTUDUH (dua dari kiri) dibawa keluar dari mahkamah selepas didakwa menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran di Kuantan hari ini.

Seorang pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran di Kampung Permatang Perawan di Pekan.

Tertuduh, Cheong Chin Chong, 62, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dihadapan Hakim Azman Mustapha.



Mengikut kertas pertuduhan, Chin Chong yang juga seorang penyelia tapak dituduh menduduki tanah kerajaan di Kampung Permatang Perawan, Pekan, tanpa kebenaran sah kira-kira pukul 5.15 petang, 8 Ogos tahun lalu.

Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara 1965 yang boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, jika sabit kesalahan.

Selain itu, dua jentera berat milik tertuduh turut akan dilucuthak mengikut Seksyen 426 C(3) Kanun Tanah Negara jika terbukti digunakan dalam melakukan kesalahan terbabit.

Pertuduhan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pahang, Muhammad Najmi Zaki Amer Suhaimi dan Muhammad Taqiuddin Azizan yang meminta tertuduh dikenakan wang jaminan sebanyak RM20,000.



Chin Chong yang tidak diwakili peguam merayu agar wang jaminan dikurangkan kerana tertuduh bekerja sendiri dengan pendapatan RM2,000 hingga RM3,000 sebulan selain perlu menanggung isteri serta dua orang anak dan seorang bapa.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 oleh penjamin dalam kalangan ahli keluarga terdekat atau rakan sekerja yang berusia di bawah 60 tahun.

Hakim turut menetapkan 22 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes termasuk lantikan peguam dan serahan dokumen.

Sumber – KOSMO! ONLINE.




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading