SST naik, bukan alasan peniaga bazar kenakan harga ‘cekik darah’

Oleh – Syeikh Baran


SST naik, bukan alasan peniaga bazar kenakan harga ‘cekik darah’
Gambar Hiasan

Peniaga bazar Ramadan di negeri ini diingatkan untuk tidak menjadikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang naik sebanyak lapan peratus sebagai alasan menjual barangan pada harga lebih mahal.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Tuminah Kadi berkata, bagi mengawal situasi itu, kekuatan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan turut ditingkatkan di bazar-bazar Ramadan.



Katanya, tinjauan harian harga akan dibuat termasuklah makanan berasaskan gula seperti air balang dan kuih-muih yang sebelum ini mengalami kenaikan susulan isu bekalan gula yang didakwa sukar didapatkan oleh para peniaga.

“Saya mahu ingatkan para peniaga di bazar Ramadan untuk tidak sewenang-wenangnya menggunakan SST sebagai alasan menaikkan harga barangan dijual.

“Kita akan tempatkan lebih ramai penguat kuasa KPDN di bazar Ramadan seluruh Melaka, jadi mana-mana pihak yang dikesan menjual pada harga tidak munasabah akan terus dikenakan tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program ‘Empowering Women’ melibatkan acara sukan jet ski di Pantai Puteri, Tanjung Kling sempena sambutan Hari Wanita Sedunia.



Mengulas lanjut, Tuminah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor berkata, selain penguatkuasaan di bazar Ramadan, tinjauan harga barangan juga akan dilakukan di pasar raya dan kedai runcit.

“Pemantauan ini memang kita telah laksanakan, namun sempena Ramadan nanti kekerapan itu akan ditingkatkan lagi.

“Penguat kuasa kita akan menjalankan tugas mereka dengan berpakaian preman bagi memastikan peniaga yang melakukan kesalahan dapat dicekup,” ujarnya.

Sumber – KOSMO! ONLINE




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading