Saman KJ terhadap Jamal diteruskan

 

Oleh Pena Merah

Saman KJ terhadap Jamal diteruskan
Khairy (kanan) mengemukakan saman fitnah terhadap Jamal berhubung satu kenyataan media pada Perhimpunan Agung UMNO 2022, Januari lalu

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, hari ini gagal membatalkan saman difailkan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berhubung satu sidang media ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 Januari lalu.

Sidang media itu berhubung dakwaan UMNO mengimport perwakilan daripada luar yang bukan perwakilan untuk mengundi usul supaya jawatan nombor satu dan dua tidak dipertandingkan.



Peguam Shakeel Saifuzzaman, mewakili Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO berkata, kegagalan itu susulan Mahkamah Tinggi menolak permohonan untuk membatalkan saman berkenaan atas alasan ada isu yang perlu dibicarakan.

“Permohonan defendan (Jamal) untuk membatalkan writ saman dan pernyataan tuntutan plaintif (Khairy) ditolak dengan kos dalam kausa.

“Pesuruhjaya Kehakiman, Dr Suzana Muhamad Said, menetapkan 27 Mei ini untuk sebutan kes seterusnya, manakala perbicaraan dijangka pada 2026,” katanya pada BH selepas prosiding menerusi aplikasi Zoom.

Khairy turut diwakili peguam Harshaan Zamani.



Mengikut notis permohonan defendan difailkan Tetuan The Law Chambers Of Fauzi & Nasser pada 19 September 2023, alasan membatalkan saman itu ialah kausa tindakan plaintif tidak jelas.

Selain itu, tuntutan plaintif terhadap defendan didakwa mengaibkan, remeh atau menyusahkan, serta tuntutan itu satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Khairy memfailkan writ saman pada 24 Mei 2023 melalui firma guaman Tetuan Aizat Izuan Shakeel dan menuntut ganti rugi khas RM1 juta, ganti rugi am dan perintah supaya Jamal menerbitkan permohonan maaf di akaun Facebook dan TikTok serta dalam akhbar utama bahasa Melayu, Inggeris dan Cina.

Dalam pernyataan tuntutannya, Khairy berkata, pada PAU 2022 yang diadakan 14 Januari tahun lalu, Jamal mengadakan sidang media di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur dihadiri pengamal media, perwakilan UMNO dan beberapa ahli serta pemimpin UMNO.



Pada hari sama, Khairy berkata, Jamal melalui akaun Facebook di bawah nama ‘DS Jamal Yunos (DS Jamal Yunos Official)’ memuat naik rakaman video sidang video itu bertajuk ‘Saya harap Khairy Jamaluddin dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin UMNO selepas mengeluarkan kenyataan yang semborono dan memalukan UMNO #UmnoDuluKiniDanSelamanya’.

Katanya, Jamal juga memuat naik rakaman sama melalui akaun media sosial TikTok di bawah nama pengguna ‘jamal_yunos’.

Bekas Menteri Kesihatan itu berkata, kenyataan berbaur fitnah itu antaranya membawa maksud beliau pemimpin yang tiada integriti, tiada kredibiliti memimpin dan terbabit atau melakukan jenayah rasuah.

Katanya, ia turut membawa maksud beliau melaksanakan dan menerapkan pendekatan rasuah untuk menimbulkan perpecahan dalam kalangan ahli parti demi kepentingan peribadi dan tidak layak menjadi seorang pemimpin serta tidak setia kepada parti serta pemimpin parti. – Berita Harian



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button