Sindiket jenayah derma kepada NGO untuk cuci duit

Oleh – Syeikh Baran


Sindiket jenayah derma kepada NGO untuk cuci duit
Gambar Hiasan

Berselindung di sebalik derma kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ia adalah antara modus operandi bagi melindungi wang hasil aktiviti haram dilakukan sindiket perjudian, pengedaran dadah, penyeludupan. pemerasan dan sebagainya.

Taktik terbabit digunakan untuk mengaburi mata pihak berkuasa dengan turut memberi komisen kepada NGO yang menerima sumbangan daripada hasil aktiviti haram itu.



Mendedahkan perkara itu, Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (Amla) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Muhammed Hasbullah Ali berkata, pihak Amla PDRM juga ada menerima maklumat berkaitan NGO yang digunakan untuk mencuci wang.

Menurutnya, NGO itu akan mengambil kesempatan dengan nama entiti NGO mereka bagi mengumpul dana dari sindiket yang menjalankan aktiviti menyalahi undang-undang seperti perjudian, pengedaran dadah, penyeludupan. pemerasan dan sebagainya.

“Sindiket itu akan membuat sumbangan kepada NGO seolah-olah memberi sumbangan derma.

“Kemudiannya, wang sumbangan itu akan disalurkan semula kepada pihak sindiket,” katanya kepada Harian Metro.



Muhammed Hasbullah berkata, ada juga pihak NGO akan mendapat komisen daripada urusan berkenaan.

“Sindiket itu juga akan menggunakan NGO untuk mencari ahli sindiket yang baru bagi tujuan merekrut untuk aktiviti jenayah yang dilakukan mereka.

“Selain itu, NGO menggunakan nama organisasi mereka untuk mengumpul wang orang ramai,” katanya.

Beliau berkata, hasil kutipan itu tidak disalurkan kepada pihak berkenaan tetapi digunakan untuk kelangsungan pihak tertentu dalam organisasi berkenaan dan diri sendiri.



“Terdapat juga NGO mengambil kesempatan ke atas orang awam dengan menggunakan bayaran atas khidmat bantuan yang dilakukan mereka.

“Seterusnya bayaran ini digunakan untuk operasi NGO itu sendiri bagi mengembangkan lagi organisasinya lebih kepada mendapatkan populariti,” katanya.

Sumber – HARIAN METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button