Melaka jalin kerjasama dengan media berpengaruh China promosi Melaka

Oleh – Syeikh Baran


Melaka jalin kerjasama dengan media berpengaruh China promosi Melaka
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bersama EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abd Razak Abd Rahman (kiri) menyaksikan pertukaran Perjanjian Kerjasama antara Pengurus Besar PMH Travel & Event Sdn Bhd, Siti Ainshah Osman (dua, kiri) dengan Pengarah Eksekutif Mango Media Sdn Bhd, Datuk Ge Yamei (kanan) di Seri Negeri, hari ini, NSTP/Amir Mamat

Kerajaan negeri memeterai perjanjian kerjasama dengan anak syarikat media berpengaruh di China, Golden Eagle Broadcasting System (GBS), Mango Media Sdn Bhd (Mango Media) dalam usaha menarik lebih ramai pelancong dari negara itu ke Melaka.

Menerusi perjanjian yang diwakili anak syarikat kerajaan negeri, PMH Travel & Event Sdn Bhd itu, kedua-dua pihak secara dasarnya bersetuju untuk membawa sekurang-kurangnya sejuta pelancong China dari pelbagai wilayah ke negeri bersejarah itu dalam tempoh dua tahun.
 

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata melalui kerjasama itu, Mango Media bersedia untuk mempromosikan Melaka melalui dua strategi promosi iaitu penjualan langsung dalam talian menerusi platform seperti XHS dan TikTok membabitkan ramai pempengaruh terkemuka dalam pasaran untuk mempromosi Melaka secara langsung kepada pengguna dalam talian di republik berkenaan.



Beliau berkata, strategi kedua pula adalah penjualan luar talian menerusi penggunaan Hunan Broadcast yang meliputi banyak saluran TV dan akan mempromosikan Melaka secara meluas melalui siaran TV tradisional.

Katanya, langkah itu pastinya akan menyebar capaian yang lebih luas kepada seluruh pelancong berhubung keistimewaan Melaka.

“Saya yakin, kerjasama ini dapat merangsang pertumbuhan ekonomi Melaka dan penduduk negeri ini melalui sektor pelancongan berikutan kejayaan GBS sebelum ini mempromosi beberapa lokasi terpencil di wilayah China sehingga lokasi itu menerima limpahan pengunjung dan peningkatan ekonomi komuniti setempat.

“Justeru, saya percaya usaha yang konsisten dan efektif ini berpotensi memberikan manfaat ekonomi yang signifikan kepada ekonomi negeri serta memperkukuhkan kedudukan Melaka sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini,” katanya selepas menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian persefahaman (MoU) antara PMH Travel & Event Sdn Bhd dan Mango Media di Seri Negeri, di sini hari ini.



PMH diwakili Pengurus Besarnya, Siti Ainshah Osman manakala Mango Media pula diwakili Pengarah Eksekutifnya, Datuk Ge Yamei.

Yang turut hadir, EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abd Razak Abd Rahman dan Penasihat Khas Pelaburan dan Hal Ehwal Negara China kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Lim Ban Hong.

GBS adalah kumpulan media berpengaruh di China dan memiliki lima platform media streaming, empat saluran TV satelit, enam saluran TV, tiga saluran TV profesional digital berbayar, lapan frekuensi penyiaran serta platform media lain.

Sektor perniagaan GBS merangkumi pelbagai sektor termasuk hiburan filem dan televisyen, pengiklanan, budaya dan pelancongan, e-dagang, pelaburan, permainan, animasi, pengurusan artis serta hiburan langsung.



Kini, GBS mempunyai bidang kuasa ke atas dua syarikat tersenarai iaitu Mango Excellent Media Co Ltd dan Hunan TV & Broadcast Intermediary Co Ltd.

Sebelum ini, kerajaan negeri melantik Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) sebagai rakan media rasmi bagi promosi dan kempen Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ab Rauf berkata, GBS juga sudah berjaya mencipta nilai jenamanya melebihi 100 bilion yuan berdasarkan rekod yang dikeluarkan oleh World Brand Lab, sekali gus menduduki tempat ke-90 sebagai pemegang kedudukan kedua dalam industri penyiaran dan televisyen Asia selepas China Media Group (CMG).

“Syarikat penyiaran ini juga adalah antara kumpulan media pertama di China yang menyediakan perkhidmatan penstriman dalam talian.



“Berhubung bidang video berdurasi panjang, Hunan TV iaitu satu saluran TV satelit provinsi yang paling berpengaruh dengan penarafan dan nilai jenama tertinggi di China, merangkumi penonton global sebanyak 1.9 bilion, manakala Mango TV pula dengan capaian 66.53 juta pelanggan,” katanya.

Sumber – BERITA HARIAN


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading