Rakyat Iran kembali tunai Umrah ke Arab Saudi

Oleh – Syeikh Baran


Rakyat Iran kembali tunai Umrah ke Arab Saudi
Jemaah Islam menunaikan umrah di kota suci Makkah, Arab Saudi, – Foto REUTERS

Umat Islam Iran kembali menunai ibadah Umrah dan Ziarah sepanjang tahun ke Arab Saudi selepas hampir 10 tahun kedua-dua negara berkenaan mempunyai hubungan kurang baik, kata media kerajaan Iran.

Memetik laporan agensi berita rasmi IRNA, kumpulan pertama jemaah Umrah sudah berlepas dari Iran ke Arab Saudi melalui lapangan terbang Imam Khomeini di Tehran.



Mereka adalah warga Iran pertama yang menunaikan ibadah Umrah sejak Iran dan Arab Saudi bersetuju dalam perjanjian yang diuruskan China pada tahun lalu untuk memulihkan hubungan dan membuka semula kedutaan masing-masing selepas hampir satu dekad.

Warga Iran telah pun dibenarkan untuk mengerjakan Haji pada tahun lalu, namun bagi Umrah pula masih terlarang untuk mereka sehingga kini.

Arab Saudi yang bermajoriti Sunni dan Iran yang majoriti rakyatnya dari Syiah memutuskan hubungan pada 2016 selepas misi diplomatik Arab Saudi di Iran diserang ketika protes terhadap hukuman mati Arab Saudi terhadap ulama Syiah, Nimr al-Nimr.

Laporan media Iran beberapa bulan kebelakangan mendakwa jemaah akan dapat pergi ke Tanah Suci Makkah untuk menunaikan ibadah Umrah, bagaimanapun mendakwa berlaku kelewatan disebabkan masalah teknikal yang berulang kali.



IRNA berkata, dianggarkan seramai 5,720 jemaah Umrah Iran akan berlepas ke Arab Saudi pada tahun ini.

Duta Arab Saudi ke Iran, Abdullah bin Saud al-Anazi, hadir di lapangan terbang bersama beberapa pegawai Iran bagi menghantar kumpulan pertama jemaah Umrah pada hari ini.

Umat Islam boleh menunaikan Umrah ke Makkah pada bila-bila masa sepanjang tahun, berbeza dengan Haji, salah satu daripada lima rukun Islam yang berlangsung pada tarikh tertentu mengikut kalendar masihi. – AFP

Sumber – BERITA HARIAN




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading