Penduduk beri makan punca merpati makin banyak

Oleh – Syeikh Baran


Penduduk beri makan punca merpati makin banyak
KEHADIRAN burung merpati bukan sahaja menjejaskan kebersihan, malah boleh membawa penyakit.

SAUDARA PENGARANG,

Saya setuju dengan tindakan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada bulan lalu yang mengeluarkan 98 kompaun terhadap mereka yang membuang sampah merata-rata termasuk memberi sisa makanan kepada burung merpati.



Tindakan penguatkuasaan itu dilakukan mengikut Seksyen 47(1)(g) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

Saya tinggal di sebuah apartmen di daerah Kuala Selangor. Banyak burung merpati di kawasan kediaman bertingkat saya.

Kehadiran burung-burung itu bertambah apabila ada penduduk yang memberi makanan kepada merpati pada waktu-waktu tertentu.

Mungkin pemberi makanan kepada burung merpati itu beranggapan mereka bersifat baik hati dan mulia, namun sebenarnya tindakan tersebut menjejaskan tahap
kebersihan serta kesihatan awam.



Tindakan mereka itu menyebabkan najis burung bertaburan di kawasan apartmen termasuk di atas kenderaan penghuni lain. Malah, kereta juga terdapat kesan calar apabila banyak merpati bertenggek di atasnya.

Selain itu, burung-burung merpati sering membuat sarang di dalam bangunan dan di atas bumbung rumah penghuni.

Biarpun badan pengurusan penduduk (JMB) telah mengeluarkan notis larangan memberi makanan kepada burung, namun masih ada penduduk yang berdegil.

Saya mohon pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit selain menangkap merpati.



Penghuni kecewa,
Kuala Selangor

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button