Jururawat maut kereta bertembung lori
Jururawat maut kereta bertembung lori
KUALA SELANGOR: Seorang jururawat dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah hospital swasta maut apabila kereta dipandunya bertembung lori di Kilometer 47 Jalan Klang-Teluk Intan, dekat persimpangan lampu isyarat Pekan Lama Kuala Selangor, di sini pagi tadi.
Pemandu kereta berusia 24 tahun yang memandu Perodua Myvi dilaporkan meninggal dunia di lokasi dalam nahas kira-kira jam 6.30 pagi itu.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa, berkata siasatan mendapati mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Sabak Bernam menghala ke Shah Alam.
“Apabila melalui jalan berselekoh, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum melanggar sebuah lori dan sebuah lori Isuzu.
“Mangsa cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini sambil memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata sepasukan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan berhubung kemalangan itu.