Pemandu lori direman empat hari, bantu siasatan nahas ragut nyawa kontraktor
MELAKA: Pemandu lori yang dipercayai terbabit nahas lima kenderaan hingga mengorbankan seorang kontraktor di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) kelmarin, direman empat hari bermula hari ini.
Perintah reman terhadap suspek berusia 37 tahun itu dikeluarkan Majistret Tan Chai Wei selepas dimohon polis bagi melengkapkan siasatan kes mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, suspek yang berpakaian lokap tiba di mahkamah pada jam 9.15 pagi diiringi polis, sebelum proses permohonan reman terhadapnya selesai kira-kira sejam kemudian.
Dalam kejadian pada jam 9.30 pagi semalam, Khaidzir Zainuddin, 59, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dirempuh sebuah lori ketika menukar tayar kereta di Kilometer 179.3, PLUS (arah selatan).
Anaknya, Muhammad Ashraf, 22, yang patah tulang rusuk masih dirawat di Hospital Tangkak, Johor.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati sebelum kejadian dua beranak itu yang menaiki kereta Mercedes Benz dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pengerang, Johor.