Serangan Russia satu jenayah perang

Serangan Russia satu jenayah perang

Serangan Russia satu jenayah perang
PASUKAN penyelamat menjalankan misi mencari dan menyelamat di bangunan yang musnah selepas dibedil peluru berpandu Russia kelmarin.-AFP

DNIPRO: Angka korban penduduk awam akibat serangan dahsyat peluru berpandu Russia di bandar Dnipro, tengah Ukraine dijangka meningkat melepasi 40 orang setakat kelmarin.

Pasukan penyelamat kini masih mencari 25 orang yang masih hilang dalam runtuhan bangunan yang musnah berkenaan.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy turut mengecam serangan peluru berpandu itu dan menyifatkannya sebagai satu jenayah perang.



“Tidak syak lagi, setiap orang yang bersalah dalam jenayah perang ini akan dikenal pasti dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya dalam ucapan malam kelmarin.

TERIMA KERETA KEBAL MINGGU INI

Ukraine meminta lebih banyak senjata bagi mempertahankan diri dan pada hujung minggu ini dijangka menerima kereta kebal Britain.

Bagaimanapun, Presiden Russia, Vladimir Putin memberi amaran bahawa persenjataan yang banyak hanya akan meningkatkan pertempuran dan pihaknya berikrar untuk memusnahkan peralatan itu.

Dengan ketegangan yang memuncak, seorang pegawai tinggi Amerika Syarikat (AS), Timbalan Setiausaha Negara, Wendy Sherman Isnin lalu melawat Kyiv di mana beliau menyatakan komitmen teguh Washington kepada Ukraine.



Beliau dikatakan membincangkan cara untuk memperkukuh keselamatan negara itu dengan Zelenskyy.

PENDUDUK BERKUMPUL, DIBERI MINUMAN HANGAT

Di Dnipro, penduduk berkumpul untuk mendapatkan minuman hangat dan makanan di sebelah bangunan kediaman gaya Soviet yang runtuh, kelmarin.

Perkhidmatan kecemasan turut melaporkan tiga kanak-kanak adalah antara yang maut dengan 25 orang masih tidak dapat dikesan, seramai 77 cedera dalam serangan itu.

Timbalan Ketua Presiden, Kyrylo Tymoshenko berkata, operasi menyelamat, perobohan runtuhan bangunan tidak akan berhenti  sehingga semua mayat ditemukan.



“Setakat ini, 40 orang disahkan meninggal dunia,” katanya.

RUSSIA NAFI AKIBATKAN KEMUSNAHAN

Bagaimanapun, Russia mendakwa tenteranya tidak bertanggungjawab dan menyanggah teori yang tidak berasas yang tersebar dalam media sosial bahawa sistem pertahanan udara Russia menyebabkan kemusnahan.

Jurucakap Russia, Dmitry Peskov berkata kepada pemberita, angkatan tentera Russia tidak menyerang bangunan kediaman atau infrastruktur sosial.

“Mereka menyerang sasaran tentera,” tegasnya.



Pemegang jawatan Presiden Majlis Kesatuan Eropah yang juga Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson memberitahu wartawan bahawa serangan Russia itu disengajakan terhadap orang awam dan ia adalah jenayah perang.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres turut mengecam serangan itu dan berkata, ia adalah satu lagi contoh pelanggaran undang-undang perang.

AKTIFKAN SEMULA KEMUDAHAN NUKLEAR

Dalam lawatan ke negara yang dilanda perang itu, Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi berkata, pihaknya sedang menyiapkan semua lima kemudahan tetap nuklear Ukraine, termasuk Chernobyl yang ditutup selepas bencana 1986.

“Jadi kami kini meletakkan sekumpulan pakar yang akan tinggal di sini secara kekal,” katanya.



Tambahnya, kakitangan agensi akan bekerjasama rapat dengan Ukraine untuk memudahkan beberapa sokongan teknikal, penghantaran peralatan dan memastikan semua kemudahan ini dapat terus berjalan seperti biasa dan tanpa sebarang masalah.

Keputusan itu menandakan pengembangan besar aktiviti IAEA di Ukraine.

Sehingga kini, hanya kilang Zaporizhzhia yang dikawal oleh Russia mempunyai kehadiran tetap IAEA.

Untuk menahan serangan Russia, Ukraine mendesak rakan-rakan sekutunya dari Barat untuk membekalkannya dengan kereta kebal canggih, khususnya Leopard rekaan Jerman.



Bagaimanapun, kerajaan Jerman dikritik hebat kerana tindak balasnya yang tidak pasti terhadap perang di Ukraine.

Selepas beberapa bulan dikritik dan beberapa siri kesilapan, Menteri Pertahanan Jerman, Christine Lambrecht meletak jawatan pada Isnin lalu.

Hal itu berlaku beberapa hari sebelum Kumpulan Hubungan Pertahanan Ukraine yang menyelaras bekalan senjata ke negara mereka dijadualkan bertemu Lambrecht di Jerman.

Britain hujung minggu ini menjanjikan 14 kereta kebal Challenger 2 ke Ukraine yang akan menjadikannya negara Barat pertama yang membekalkan kereta kebal berat yang diminta Ukraine.-AFP

Ukraine beri amaran Russia bakal lancar serangan baharu menjelang tahun baharu

 

Serangan Russia satu jenayah perang


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :


Adakah 5 Hakim Mahkamah Persekutuan Akan Memuktamadkan Keputusan Kes SRC Pada 19 Januari Ini

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button