Juventus fokus elak penyingkiran
ROM: Objektif pertama Juventus ialah kekal dalam Serie A selepas penalti 15 mata kerana penipuan dalam perpindahan, kata jurulatih Massimiliano Allegri hari ini.
Pengurangan itu dan tiga perlawanan tanpa menang dalam liga, menyebabkan Juventus jatuh dari tangga kedua Serie A ke kedudukan ke-13, 10 mata di atas zon penyingkiran.
“Pada ketika ini kami ada 23 mata. Kami perlu mendapatkan 40 mata untuk menyelamatkan diri kami. Ia mungkin akan menyebabkan anda tersenyum, tapi itulah keadaannya,” kata Allegri dalam sidang akhbar menjelang kunjungan ke Salernitana.
Skuad Granata itu yang berkedudukan ke-16 boleh mengatasi Juventus dan berkedudukan sama mata dengan pasukan ke-12 liga, Fiorentina jika menang.
“Kami mesti menjadikan ia satu objektif mini dan bergerak satu langkah pada satu masa. Yang pertama untuk mengejar pasukan ke-12 dan kemudian pasukan lain di depan kami,” kata Allegri yang masih ada dua aksi dalam perebutan piala.
“Dengan melakukan ini, kami akan menang perlawanan. Ia akan mengekalkan intensiti menjelang aksi Liga Europa dan Coppa Italia.”
Juventus akan berdepan Nantes dalam playoff Liga Europa dengan aksi pertama di laman sendiri pada 16 Februari sebelum menentang Inter Milan pada separuh akhir Coppa Italia pada April.
Untuk menentang Salernitana, Juve akan beraksi tanpa Paul Pogba, yang mengalami satu lagi masalah di bahagian paha kata jurulatih itu.
AFP