Dugaan hari pertama Ramadan, kediaman tiga beranak musnah terbakar
MELAKA: “Semuanya musnah, tiada apa yang tinggal dan saya perlu mulakan dari bawah untuk hidup baharu,” luah Norhafiza Nor Azli, 40, selepas rumah didiaminya bersama dua anak lelaki berusia 15 dan 12 tahun di Taman Merdeka Jaya, di sini, musnah dalam kebakaran, malam tadi.
Ibu tunggal dua anak itu berkata, ketika kejadian jam 11.15 malam itu, hanya anak sulungnya Airish Zaquwan Affizi berada di rumah manakala dia ketika itu bekerja sebagai pembantu gerai di bazar Aidilfitri di Ayer Keroh yang turut ditemani anak bongsunya.
“Sudah pasti amat menyedihkan apabila ia berlaku pada hari pertama Ramadan selain barangan sekolah anak termasuk baju baharu serta buku yang belum sempat diguna turut terbakar,” katanya.
Katanya, sebelum kejadian kira-kira jam 8 malam, anaknya ada menelefon memberitahu untuk tidur selain tidak mengesyaki sesuatu.
“Namun kira-kira jam 11 malam, saya berasa tidak sedap hati membuatkan saya telefon anak untuk mengetahui keadaannya sebelum diberitahu rumah terbakar.
“Saya terkejut apabila dia meminta maaf dan memberitahu rumah terbakar sebelum membuat panggilan video. Kelihatan api ketika itu marak lalu saya memintanya keluar selamatkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Norhafiza berkata, meskipun kehilangan harta benda dan kini tinggal sehelai sepinggang, dia bersyukur apabila anaknya terselamat.
“Saya tidak dapat bayangkan jika anak tidur di dalam biliknya itu kerana dia maklum awalnya dia tidur di dalam sebelum keluar ke ruang tamu,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Sukarelawan Bencana Negeri Melaka, Ashwad Abd Rahim, berkata bagi membantu meringankan beban keluarga itu pihaknya akan membantu menyalurkan bantuan segera kepada mangsa.
“Sudah pasti ini ujian besar buat mangsa, selain sesi persekolahan baru bermula, kita umat Islam baru menyambut Ramadan. Jadi, kita akan cuba membantu meringankan beban mereka.
“Untuk itu, persatuan akan melancarkan tabung kilat bagi membantu meringankan beban termasuk jika perlu kita akan mencari kediaman sementara untuk tiga beranak ini berteduh kerana difahamkan mereka kini tinggal di rumah abangnya,” katanya.
BHOnline