Ajal sebelum sempat laung azan Subuh

Putrajaya: Seorang bilal musala (surau) tabligh di Kampung Jenderam Hulu, Dengkil meninggal dunia sebelum sempat melaungkan azan Subuh pada Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, Izar Hamid, 70-an, yang juga warga emas dikatakan rebah di tangga ketika ingin masuk ke dalam surau berkenaan.

Ketua Kampung Jenderam Hulu, Muslimin Manaf, 50, berkata beliau dimaklumkan penduduk pada jam 7 pagi berkenaan kejadian itu dan menghubungi Pejabat Kesihatan (KKM) dan polis.



Muslimin berkata, arwah tinggal bersendirian menyewa sebuah rumah berhampiran surau itu selepas berpisah dengan isteri sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, kira-kira seminggu lalu dia baharu sahaja mendaftarkan arwah dengan Pusat Zakat Selangor (PPZ) sebagai asnaf bagi membiayai sewa bulanan rumah yang didiaminya sekarang.

Katanya, arwah sering melaungkan azan setiap lima waktu solat di musala itu sekiranya tidak mempunyai urusan di luar.

“Saya juga rapat dengan arwah kerana sering minum bersama di kedai kopi dan selepas ini penduduk pasti akan merindui kemerduan suara azannya,” katanya ketika dihubungi.



Muslimin berkata, selepas kejadian itu dia turut menghubungi anak arwah yang tinggal di Bandar Baru Salak Tinggi bagi urusan pengebumian.

Menurutnya, arwah tidak bekerja dan sering membersihkan surau berkenaan yang sering dihadiri kumpulan tabligh antara 10 hingga 15 orang pada setiap waktu solat termasuk mengadakan aktiviti keagamaan.

Katanya, arwah seorang yang baik budi pekerti serta sering bergaul dengan penduduk dan kematian arwah dikatakan berpunca dari serangan jantung.

“Jenazah arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Sultan Hisamuddin, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang,” katanya.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button