Calon PRK Chini mula berkempen dalam normal baharu

Hebahkan !!!

PEKAN, 21 Jun — Memasuki hari kedua kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, kesemua calon dilihat memulakan hari mereka dalam suasana negara masih berdepan ancaman COVID-19, yang menyaksikan kempen kali ini tidak sama seperti PRK atau pilihan raya lain.

Jika dahulu bentuk kempen adalah berjumpa pengundi dan bersalaman selain beramah mesra namun normal baharu perlu diterapkan pada PRK kali ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), yang merupakan antara usaha mencegah COVID-19.

Pengenalan prosedur operasi standard (SOP) khas bagi urusan pelaksanaan PRK Chini oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyebabkan ketiga-tiga calon terpaksa berkempen menggunakan pendekatan lebih sederhana bagi menyantuni para pengundi.

Mengakui pendekatan PRK kali ini sedikit berbeza, calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain, 41, berkata pihaknya terpaksa mengubah dan menambah baik jadual kempen agar selari dengan kehendak SOP SPR dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Walaupun Chini adalah zon hijau COVID-19, kita tetap akur mematuhi SOP dengan membuat kawalan mengambil suhu badan, menyediakan cecair pembasmi kuman serta menyediakan pelitup muka,” kata beliau ketika ditemui pemberita selepas melakukan jelajah mesra di sekitar Bandar Dara Chini dengan ditemani dua penyokongnya. –LAGI

Sementara itu, calon BEBAS Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, berkata beliau sedikit kekok dengan pelaksanaan SOP berkempen yang ditetapkan SPR namun semakin dapat membiasakan diri.

“Bagi saya mula-mula janggal sedikit kerana tidak biasa lagi, tetapi lama-kelamaan saya berpendapat ia perlu diikuti demi kebaikan diri sendiri dan masyarakat di sini. Alhamdulillah setakat ini pematuhan SOP adalah baik walaupun kadangkala terlupa juga yang kita perlu mengikut SOP, terutama menjaga penjarakan sosial,” katanya.

Dalam sesi jelajah mesra calon yang menggunakan simbol rumah itu, beliau dilihat begitu menjaga penjarakan sosiaal dan mematuhi syarat tiga wakil semasa lawatan dari rumah ke rumah ketika bertemu masyarakat di DUN itu.

Sabtu lepas, SPR memutuskan beberapa pindaan terhadap SOP khas untuk PRK DUN Chini, antaranya memberi kelonggaran kepada calon dan parti untuk berkempen secara berceramah dengan kapasiti tidak melebihi 250 orang pada satu-satu masa dan tempat serta terhad di premis tertutup sahaja mengikut kesesuaian lokasi, selain memastikan pematuhan peraturan sedia dan SOP yang ditetapkan.

Bagi aktiviti kempen dari rumah ke rumah pengundi dan jelajah mesra pula, hanya tiga orang sahaja dibenarkan sama ada calon atau penyokong parti pada satu-satu masa dan tempat.

Aktiviti bersentuhan atau bersalaman dengan bakal pengundi sama sekali tidak dibenarkan dan calon serta wakil calon yang terlibat dengan kempen ziarah dari rumah ke rumah dan program jelajah mesra perlu mematuhi peraturan sedia ada, termasuk mengamalkan jarak satu meter serta merekodkan senarai rumah yang dikunjungi.

Calon juga digalak memaksimumkan kaedah kempen secara dalam talian atau melalui saluran media sosial.

Seorang lagi calon BEBAS iaitu Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, pula tiada masalah untuk mematuhi SOP bagi PRK itu kerana sebagai seorang penulis blog, beliau sudah sekian lama menggunakan platform dalam talian.

Calon yang menggunakan simbol kunci itu berkata beliau akan turut memanfaatkan siaran radio dalam talian menerusi laman sosial Facebook menggunakan nama CMKFM bagi menyampaikan maklumat kempennya dalam PRK itu.

“Saya rasa tak ada masalah untuk patuhi SOP ini. Mungkin normal baharu ini menyebabkan orang lain alami kesukaran, tapi saya sudah biasa guna platform online,” katanya.

PRK DUN Chini pada 4 Julai ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Mohd Sharim, Zainul Hisham dan Mohd Shukri bagi merebut kekosongan kerusi DUN Chini yang kosong selepas kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60.

Allahyarham meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada 7 Mei lepas akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi, menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain daripada PKR (1,065).

DUN Chini, dengan dua mukim iaitu Penyor dan Lepar, mempunyai 20,990 pengundi dengan sebahagian besar daripada mereka membabitkan diri dalam bidang perladangan. — BERNAMA

Leave a Reply

%d bloggers like this: