Prinsip Rukun Negara kunci keamanan, keharmonian negara

KUALA LUMPUR, 30 Ogos  — Prinsip Rukun Negara perlu menjadi pegangan setiap rakyat Malaysia kerana ia kunci utama kepada keamanan dan keharmonian negara yang terdiri daripada kepelbagaian etnik, agama serta budaya.

Penghayatan terhadap Rukun Negara bukan sahaja dapat menyatupadukan rakyat negara ini, malah akan memacu Malaysia menjadi sebuah negara maju dan antara yang terbaik di dunia.

Komandan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur SAC Datuk Shamsudin Mat berkata prinsip Rukun Negara perlu dihormati dan dijadikan panduan kehidupan oleh rakyat Malaysia terutama sekali anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas menjaga keamanan negara.



“PDRM sebagai agensi keselamatan negara menerapkan sebaik mungkin penghayatan prinsip Rukun Negara dalam diri anggotanya dan ia dimulakan sejak mula rekrut berada di Pulapol.

“Sebagai pendukung kepada prinsip keempat Rukun Negara iaitu Kedaulatan Undang-Undang, saya percaya penghayatan Rukun Negara adalah perlu dalam memastikan keharmonian negara terus terjaga,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Rukun Negara mengandungi lima prinsip – Kepercayaan kepada Tuhan; Kesetiaan kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan.

Ia diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 oleh Yang di-Pertuan Agong keempat, Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah, yang bertujuan untuk memperkukuh dan mengembalikan perpaduan kaum di Malaysia susulan peristiwa 13 Mei 1969.



Mengambil contoh prinsip pertama Rukun Negara iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, Shamsudin berkata ia merupakan satu prinsip yang sangat tepat kerana tiada agama di dunia ini mempunyai kepercayaan bahawa melakukan jenayah itu satu kebaikan.

“Sebagai negara Islam, Malaysia memilih Kepercayaan kepada Tuhan sebagai prinsip pertama Rukun Negara…mengapa? Ini kerana setiap agama mendukung nilai yang baik.

“Tidak ada agama dalam dunia ini yang kepercayaannya melakukan jenayah itu satu kebaikan,” katanya menambah rakyat Malaysia kini boleh hidup aman damai meskipun berbeza anutan agama.

Sementara itu, Sub Inspektor Sazali Sarjuni dari Cawangan Integriti dan Pematuhan Standard Pulapol Kuala Lumpur, mahu penghayatan kepada prinsip Rukun Negara dipupuk sejak di bangku sekolah.



“Prinsip Rukun Negara perlu dihayati dari awal, sejak dari kanak-kanak dan perlu berterusan…barulah Malaysia mempunyai rakyat yang mempunyai jati diri yang tinggi,” katanya.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button