PARTI GRS KERUSI TERBANYAK, KETUAI KERAJAAN – ZAHID

Kuala Lumpur: Mandat dan peluang mengetuai kerajaan Sabah lebih baik diberikan kepada mana-mana parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang memperoleh kemenangan kerusi terbanyak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, keputusan itu hendaklah dibuat selepas diadakan rundingan antara parti dalam gabungan itu.

“Kita tahu dalam GRS terdiri gabungan parti BN, Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star).

“Dari segi kemunasabahan lebih baik jika mana-mana parti yang peroleh kerusi terbanyak diberikan mandat dan peluang ketuai kerajaan negeri setelah rundingan dibuat dalam kalangan parti gabungan ini,” katanya dalam rakaman video yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO, malam ini.

PRN Sabah menyaksikan GRS mengatasi lawannya Parti Warisan Sabah dan beberapa parti sekutunya dengan 38 kerusi dari jumlah keseluruhan 73 kerusi, sekali gus membolehkan ia membentuk kerajaan baharu.

GRS adalah gabungan parti Perikatan Nasional (PN), BN dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Menyentuh prestasi Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mengetuai jentera BN pada PRN itu, Ahmad Zahid menyifatkan Bung Mokhtar sebagai sebutir permata yang berjaya digilap.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno berkata, keputusan memilih Bung Moktar mengetuai BN negeri adalah sebagai penghargaan serta atas faktor setia kawan yang ditonjolkan Ahli Parlimen Kinabatangan itu semasa berlaku konflik kepimpinan di Sabah sebelum ini.

“Saya pentingkan (faktor) setia kawan daripada faktor lain. Saya lihat Bung Moktar berjaya mengkoordinasikan gerak kerja di semua peringkat negeri, bahagian DUN dan pusat daerah mengundi.

“Ini (prestasi) tentunya boleh dijadikan asas untuk beliau diberikan kesempatan untuk terajui pentadbiran Sabah kelak,” katanya.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *