Afieyah jalani pembedahan pisahkan jari yang bercantum kulit

Ipoh: Kanak-kanak perempuan yang menghidap penyakit Epidermolysis Bullosa (EB) atau kulit rapuh akan menjalani pembedahan di Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini hari ini.

Aina Afieyah Muhamad Nazreen Syah, 6, atau mesra disapa Afieyah menjalani pembedahan bagi memisahkan jari di tangannya yang ‘ditutup’ dengan kulit bercantum seperti disarung plastik pada 11 pagi ini.

Sebagai permulaan, hanya ibu jari kanannya akan dipisahkan dulu dan pasukan perubatan perlu melihat keadaannya sebelum empat jari lain dipisahkan melalui pembedahan berasingan.



Ibunya, Norshuadah Abu Bakar, 30, berkata, pembedahan yang sepatutnya dilakukan dua tahun lalu tidak dapat dilakukan kerana berisiko berdasarkan keadaan Afieyah ketika itu.

“Sekarang Afieyah sudah boleh dibedah tetapi semua jari tidak boleh dipisahkan serentak, jadi untuk permulaan ibu jari kanan dipisahkan dulu.

“Selepas itu anak turut menjalani pembedahan mencabut gigi yang sudah rosak serta rapuh,” katanya sambil memberitahu dua jari kiri tidak bercantum dan masih boleh memegang pensil.



Menurutnya, pembedahan itu berkemungkinan ada kesan sampingan seperti pendarahan atau jangkitan kuman dan dijangka mengambil masa lima jam.

“Saya memang risau tetapi demi Afieyah, saya dan suami (Muhamad Nazreen Syah Musthafa, 31) kuatkan semangat, lagipun dia selalu tanya bila mahu bedah jarinya dan beritahu mahu lihat jari dan bantu menjaga adiknya.

“Kami yakin serta percaya dengan kekuasaan Allah SWT dan keupayaan doktor. Saya berharap pembedahan Afieyah berjalan lancar tanpa sebarang kesan sampingan dan mohon bantuan ramai mendoakan anak saya,” katanya.

Norshuadah berkata, anak bongsunya, Muhammad Mikhail berusia setahun juga menghidap penyakit sama, namun setakat ini keadaannya tidak terlalu serius seperti Afieyah.



Harian Metro pada 3 Mei 2020 melaporkan, kisah Afieyah yang juga orang kurang upaya (OKU) kategori fizikal dan pesakit EB atau kulit rapuh sejak lahir.

Penyakit itu menyebabkan seluruh badan Afieyah mengalami luka selain jari di kaki dan tangannya ‘ditutup’ dengan kulit yang bercantum seperti disarung dengan plastik.

METRO




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading