Piala Malaysia: Jaringan hatrik Leandro bawa Perak ke suku akhir

3c95e908e1d42a25ab65b0cb0d0c011a5fa6bd141f465

KUALA LUMPUR, 7 Nov — Jaringan hatrik Leandro Dos Santos membawa Perak ke suku akhir Piala Malaysia 2020 dengan kemenangan 4-0 ke atas pendatang baru Kelantan United, malam ini.

Pada aksi pusingan pertama di Stadium Perak itu, pemain import dari Brazil berkenaan terdahulu meletakkan skuad kendalian Mehmet Durakovic di hadapan seawal minit ketujuh, menerusi tandukan dari sepakan sudut Muhammad Firdaus Saiyadi.

Pemain berusia 34 tahun tersebut kemudian memastikan juara lapan kali itu yang kali terakhir muncul juara pada 2018, berada dalam kedudukan selesa dengan menambah jaringan pada minit ke-21 dan 48 hasil gerakan ciliknya.

Rakan senegaranya Raianderson da Costa Morais, kemudian menambah derita buat Kelantan United, apabila berjaya melepasi dua pemain pertahanan untuk meledak gol keempat Perak pada masa kecederaan (90+1).

Format Piala Malaysia tahun ini diadakan secara kalah mati tanpa melibatkan peringkat kumpulan dan timbal balik susulan pandemik COVID-19.

Di peringkat suku akhir, Perak bakal bertembung dengan Terengganu yang mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Petaling Jaya (PJ) City FC, dalam aksi yang penuh debaran di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.

Pemain import dari Uzbekistan Sanjar Shaakhmedov, menjadi wira juara 2001 itu apabila meledak masuk gol tunggal perlawanan pada minit ke-37, hasil kesilapan barisan pertahanan PJ City FC, Kim Bong Jin yang tersilap melakukan hantaran kepada beliau.

Terdahulu, perlawanan itu tertangguh hampir 30 minit kerana pengadil Mohd Amirul Izwan Yaccob berpendapat bahawa garisan putih di padang tidak kelihatan dengan jelas.

Pusingan pertama akan bersambung esok apabila juara 33 kali, Selangor melawan Melaka di Stadium Hang Jebat, manakala UiTM FC bertemu Kelantan.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) belum membuat keputusan mengenai nasib saingan piala tertua di Asia itu, selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri di Semenanjung kecuali Pahang, Perlis dan Kelantan, bermula 9 Nov hingga 6 Dis depan.

MFL pada awalnya menjadualkan pusingan pertama dari 6-8 Nov, diikuti suku akhir pada 12-13 Nov, separuh akhir pada 17 Nov dan final pada 22 Nov.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *