Peruntukan khas RM150 juta bagi geran pembiayaan, padanan untuk nelayan

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah (dua, kiri) menyampaikan kit makanan barangan keperluan asas kepada nelayan Program Sembang Santai Persatuan Nelayan Tanjung Nibong, hari ini. Pada program itu, lebih 100 nelayan menerima kit makanan berkenaan sebagai tanda penghargaan serta meringankan beban mereka. –fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

 

05/12/2020 04:19 PM

JASIN, 5 Dis — Peruntukan khas sebanyak RM150 juta dalam bentuk geran pembiayaan dan padanan menerusi Belanjawan 2021 mampu meringankan beban nelayan sekali gus memastikan sumber makanan negara mencukupi.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM100 juta diperuntukkan untuk semua nelayan Zon A, B dan C dalam bentuk geran pembiayaan menerusi Agrobank.

Beliau berkata faedah sebanyak 3.5 peratus dikenakan bagi tempoh pembayaran balik antara tiga hingga 10 tahun menerusi pinjaman berkenaan.



“Baki peruntukan sebanyak RM50 juta pula diberikan dalam bentuk geran padanan sehingga RM70,000 bagi menaik taraf peralatan, pukat dan bot supaya hasil tangkapan dapat dipertingkatkan selain keselamatan mereka turut terjamin.

“Sebanyak 50 peratus daripada nilai peralatan akan dibiayai di bawah geran berkenaan manakala baki 50 peratus lagi akan ditanggung nelayan,” katanya kepada pemberita selepas Program Sembang Santai Persatuan Nelayan Tanjung Nibong di sini, hari ini.

Pada majlis itu, lebih 100 nelayan yang menyertai program berkenaan menerima kit bantuan makanan berupa barangan keperluan asas bagi meringankan beban nelayan akibat ketidaktentuan ekonomi kesan COVID-19.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah meluluskan peruntukan berjumlah RM300,000 bagi pembinaan baharu Jeti Nelayan Tanjung Nibong selain peruntukan berjumlah RM16,000 daripada kerajaan negeri Melaka bagi pembinaan baharu pondok pengawal di jeti tersebut.



Katanya sehingga November lepas, MAFI telah menyalurkan sebanyak RM1.83 juta di bawah Projek Rangsangan Ekonomi dan kerja-kerja menaik taraf atau membaik pulih infrastruktur di 13 jeti pendaratan ikan di Melaka.

“Selain itu, peruntukan berjumlah RM626,259 turut disalurkan daripada Akaun Amanah Nelayan Negeri Melaka bagi menaik taraf atau membaik pulih komponen jeti pendaratan ikan di negeri ini melibatkan tujuh lokasi,” katanya.

7 kes baru COVID-19 di S’pura, termasuk 1 dalam masyarakat dan 5 kes import

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker