Rompak kedai serbaneka, pekerja logistik dipenjara tiga tahun, tiga sebatan

10/12/2020 09:08 PM

KUALA LUMPUR, 10 Dis — Seorang pekerja logistik dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini selepas mengaku bersalah merompak sebuah kedai serbaneka, tahun lepas.

Hakim Norhazani Hamzah memerintahkan tertuduh, K. Vikneswaran, 34, menjalani hukuman itu berkuat kuasa hari ini.



Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merompak juruwang, Nor Hasanah Marsani, 30, iaitu wang tunai dan sekotak rokok yang keseluruhannya berjumlah RM339.40 di kedai itu yang terletak di Kampung Tasik Tambahan, Ampang, pada 6.44 pagi, 18 Jun 2019.

Tertuduh dihukum mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat.

Mengikut fakta kes yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya S. Sangitaa, ketika mangsa dan seorang lagi rakannya sedang bekerja, tertuduh telah masuk ke dalam kedai dan mengugut akan mencederakan mereka jika tidak memberi kerjasama.

Mangsa yang ketakutan telah dipaksa membuka peti juruwang dan tertuduh kemudiannya bertindak mengambil kesemua wang tunai RM322 serta sekotak rokok sebelum melarikan diri.



Polis kemudian berjaya menahan tertuduh hasil siasatan menerusi video rakaman litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian yang jelas memaparkan wajah lelaki itu.

Penjual keropok lekor dipenjara sembilan bulan, halang tugas, langgar polis



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button