PLPA 2020 beri peluang pemain profesional beraksi secara kompetitif

Hebahkan !!!

22/12/2020 09:55 PM

KUALA LUMPUR, 22 Dis — Malaysia Purple League (MPL) mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan kejohanan badminton Purple League Pro-Am 2020 (PLPA) buat julung kali dalam usaha mewujudkan platform kompetitif kepada pemain profesional negara yang terkesan susulan COVID-19.

MPL dalam kenyataan hari ini memaklumkan PLPA merupakan kejohanan yang akan memberi peluang kepada pemain profesional untuk kembali ke arena badminton selepas hampir 10 bulan tidak bertanding secara kompetitif ekoran pandemik itu.

Tiga pemain profesional negara – Liew Daren, Soong Joo Ven dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin telah mengesahkan penyertaan pada kejohanan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan lebih RM100,000 itu.

Kenyataan itu memaklumkan kejohanan pada awalnya dirancang berlangsung pada September lepas itu, akan diadakan bermula dari 29 Dis hingga 3 Jan depan di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya.

Tiga acara iaitu perseorangan lelaki, beregu lelaki dan beregu campuran akan dipertandingkan pada kejohanan itu.

Ketua Pegawai Operasi MPL Ho Khek Mong berkata matlamat utama kejohanan itu bukan sahaja memberi peluang kepada pemain muda bersaing di platform yang kompetitif tetapi turut berpeluang untuk diserap oleh kelab dan juga pasukan kebangsaan.

“MPL berharap kejohanan ini dapat mengembalikan kerancakan aksi badminton bagi musim depan dan membolehkan pemain profesional kembali ke gelanggang selepas lama tidak beraksi,” katanya.

Selain PLPA, MPL turut menganjurkan kejohanan Purple League 2020/2021, Purple League Junior 2020 serta Purple League Corporate 2020/2021 tahun depan.

Leave a Reply

%d bloggers like this: