Dua lelaki samun warga asing ditahan

24/12/2020 12:14 AM

PETALING JAYA, 23 Dis — Polis menahan seorang lelaki yang menyamar sebagai “Ustaz Halim” dan bersekongkol dengan rakannya yang menyamar sebagai ‘pegawai imigresen’ untuk menyamun warga asing yang mendapatkan khidmat urut tradisional, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata mereka ditahan di Flat Sri Selangor, Jalan San Peng dan Jalan Changkat di sini, susulan laporan seorang lelaki warga asing yang mendakwa beliau dirompak di rumahnya di Sungai Way di sini, pada hari yang sama.



“Mangsa yang sedang mendapatkan khidmat urut ‘ustaz’ berkenaan kemudian didatangi pula ‘pegawai imigresen’ yang mengetuk pintu rumah sebelum diminta menyerahkan pasport dan barang peribadi miliknya.

Mangsa berumur 50 tahun yang ketakutan kemudiannya menyerahkan kesemua barang peribadinya termasuk telefon bimbit, barang kemas dan wang tunai RM1,500,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

Nik Ezanee berkata pihaknya mendapati suspek turut mengambil barang peribadi milik rakan mangsa yang sedang tidur di rumah berkenaan.

Beliau berkata susulan laporan itu, polis telah melakukan dua serbuan yang membawa kepada penangkapan kedua-dua suspek selain penemuan barang peribadi milik mangsa.



“Pada mulanya, suspek ‘ustaz’ yang memberikan khidmat urut berkenaan ditahan dan hasil siasatan membawa kepada penangkapan seorang lagi suspek yang bekerja sebagai seorang “bouncer”.

Mereka disyaki melakukan kegiatan itu bermula dua tahun lepas di sekitar Lembah Klang dengan menyasarkan warga asing sebagai mangsa. Kegiatan itu hanya terbongkar susulan laporan yang dibuat baru-baru ini dan polis percaya masih ramai lagi warga asing telah menjadi mangsa,” katanya.

Nik Ezanee berkata kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan.

Dua lelaki terlibat lebih 10 kes samun warga asing ditahan



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button