Petugas barisan hadapan di PKRC MAEPS 2.0 tabah melangkah tahun baharu


Pusat rawatan dan kuarantin COVID-19 di MAEPS, Serdang

01/01/2021 12:15 AM

Oleh Maizatul Jamny Muhammad Rosli

SERDANG, 31 Dis — “Mungkin kerana saya berkorban, Allah permudahkan urusan saya,” kata seorang petugas barisan hadapan, Intan Rosmawannie Adlan, yang bertugas di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (PKRC MAEPS 2.0).



Intan Rosmawannie, 34, yang merupakan pegawai penyelaras Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) PKRC MAEPS 2.0 telah bekerja di di pusat itu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada Mac 2020.

Terdahulu dari bulan Oktober hingga Disember 2019, beliau membuat persiapan menghadapi monsun timur laut, sebelum jangkitan COVID-19 pertama dikesan dalam negara awal tahun 2020, yang meletakkan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebagai penyelaras data bagi individu di bawah pengawasan (PUS) yang baru tiba dari luar negara.

Menurut Intan, beliau masih melaksanakan tugas yang sama di KLIA sehingga sekarang, sebagai tambahan kepada kedudukan beliau sebagai penyelaras NADMA bagi PKRC MAEPS pertama dari Mac hingga Julai 2020 dan PKRC MAEPS 2.0 sejak awal Disember 2020.

“Cuti panjang tiada langsung, sejak Okt tahun lepas (2019). Cuti yang dibekukan pun tidak ‘cair’ lagi,” kata ibu kepada dua anak itu secara berseloroh.



“Saya harap diberi kekuatan untuk meneruskan kerja di sini. Sepanjang bekerja, Alhamdulillah saya tidak pernah sakit atau demam walaupun tempat yang saya pergi semua berisiko tinggi dan saya juga tidak pernah kena swab test sebab tiada gejala,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Intan mengakui bahawa ia merupakan tempoh yang sukar bagi keluarganya kerana beliau tidak dapat bersama untuk tempoh yang panjang seperti sebelumnya, dan pada masa yang sama suaminya yang bekerja dalam industri penerbangan pula telah kehilangan pekerjaan November lepas.

“Saya datang kerja, orang selalu nampak saya ‘happy’, tapi sebenarnya saya sedih sangat, keluarga macam terabai. Kalau ikutkan, saya juga ‘down’, suami saya juga ‘down’ sebab tiada kerja. Selalu terfikir mengenai kewangan kami,” katanya.

Bagi Timbalan Pengarah 2 PKRC MAEPS 2.0 Kol Dr Aeriza Mohd Yusak pula, beliau berharap para petugas barisan hadapan akan diberikan kesihatan dan kekuatan dalam menempuh saat yang sukar ini, dan menurutnya mereka yang bertugas memerangi pandemik semasa tempoh yang sukar ini, tidak kira sama ada petugas barisan hadapan atau sebaliknya, mereka telah melakukan pengorbanan yang amat besar kepada negara.



“.. dari segi tenaga, mental, fizikal dan serba serbi, ia adalah pengorbanan kepada setiap kita. Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah, dan saya harapkan semua daripada kami petugas di sini dan semua ‘frontliners’ untuk meneruskan kerja,” katanya.

Dr Aeriza, 42, yang juga Pakar Perubatan Keluarga di Jabatan Perubatan Tentera Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, sebelum ini ditugaskan di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) pada bulan Jun lepas, sebelum ditukarkan ke PKRC MAEPS 2.0.

“Jadi tahun 2020 ini memang banyak yang berlaku dalam diri saya secara individu. Untuk PKRC MAEPS 2.0, ini lapangan baharu. Proses kerja dan pasukan sini semuanya baharu, jadi saya kena cepat adaptasi dengan apa yang baharu ini, supaya perjalanan menjadi lancar.

“Alhamdulillah, saya mempunyai suami yang sungguh memahami yang sokong saya daripada belakang, kerana tanpa dia sokongan ibu bapa, saya tidak akan sampai ke tahap saya berada hari ini,”katanya.



Terdahulu di PKRC MAEPS 2.0, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas khas) Datin Mastura Mohd Yazid melawat pusat kuarantin sementara, dan mengadakan mesyuarat dengan petugas barisan hadapan dari semua agensi.

Bercakap kepada media selepas lawatan itu Mastura berkata tahun 2020 merupakan tahun yang amat mencabar bagi seluruh rakyat Malaysia, terutama kepada petugas barisan hadapan yang berkhidmat kepada negara tanpa mengira waktu dan keselamatan sendiri.

Melihat kepada trend jangkitan COVID-19, beliau berkata rakyat Malaysia boleh membantu petugas barisan hadapan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam memutuskan rantaian jangkitan, di samping menyuarakan empati.

MAEPS diaktifkan semula sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button