Dua lelaki miliki ganja cuba sogok polis ditahan

04/01/2021 01:24 PM

KUALA LUMPUR, 4 Jan — Dua lelaki tempatan ditahan kerana cuba menyogok wang tunai RM2,900 kepada anggota polis setelah didapati memiliki dadah di Jalan Klang Lama di sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Anuar Omar berkata semasa kejadian pada kira-kira 2.30 petang itu, anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang sedang membuat rondaan bertindak menahan sebuah kereta Honda City dalam keadaan mencurigakan yang dinaiki dua suspek berusia 26 dan 32 tahun.



“Hasil pemeriksaan menemui dua balutan rokok mengandungi tumbuhan kering disyaki dadah ganja seberat 1.90 gram di dalam laci kecil sebelah pemandu.

“Suspek, bagaimanapun, cuba bertindak memberi sogokan kepada anggota polis sejumlah wang RM400 sebelum menaikkan jumlah itu kepada RM2,900,” katanya dalam kenyataan di sini.

Anuar berkata namun anggota URB tidak menghiraukan tawaran terlibat dan kedua-dua suspek ditangkap serta dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata suspek direman tiga hari sehingga esok manakala siasatan dijalankan di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.



“Sementara bagi kesalahan cubaan memberi sogokan akan disiasat pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009,” katanya.

Dua lelaki ditahan miliki syabu, ganja



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button