Lari sebab menyangka dikejar pemungut hutang

Manjung: Akibat takut dan mahu melarikan diri daripada suami kepada rakan wanitanya yang disangka pemungut hutang, seorang lelaki bertindak melarikan kereta wanita itu sebelum dikejar kereta peronda polis hingga melanggar kenderaan pihak berkuasa di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, sebelum itu, suspek berusia 31 tahun menghubungi wanita berkenaan yang dikenalinya sejak empat bulan lalu melalui aplikasi Wechat untuk meminta bantuan pada 7.30 pagi.

Katanya, suspek meminta mangsa mengambilnya di sebuah penginapan sebelum wanita itu ke lokasi dengan menaiki sebuah kereta Perodua Kancil dan turut meminta suaminya mengekorinya secara berasingan kerana bimbang keselamatan dirinya.



“Ketika sampai di lokasi suspek memberitahu mahu membawa kereta mangsa dengan alasan ada orang sedang mengejarnya sebelum lelaki itu menyedari kehadiran suami mangsa.

“Suspek kemudiannya memandu kereta mangsa menghala ke Seri Manjung dalam keadaan berbahaya dan apabila sampai di lampu isyarat, ada kenderaan peronda polis mengejar serta mengarahkan kereta berkenaan untuk berhenti,” katanya ketika dihubungi.

Nor Omar berkata, apabila tiba di Seri Manjung kenderaan peronda polis bertindak menghalang jalan, namun suspek melanggar sebuah kenderaan polis dan terus memecut laju.

“Setibanya di hadapan sebuah restoran, suspek menghentikan kereta dan keluar lalu cuba pula mengambil motosikal milik seorang perempuan yang berada di sana, namun tidak berjaya dan dia masuk semula ke dalam kereta itu.



“Anggota polis yang tiba kemudiannya cuba menahan suspek, namun berlaku pergelutan antara suspek dengan polis sebelum lelaki itu berjaya ditahan,” katanya.

Beliau berkata, punca kejadian adalah kerana suspek menyangka suami dan rakan suami mangsa adalah pemungut hutang.

“Ini kerana suspek sebelum ini sudah beberapa kali melarikan diri kerana masalah hutang yang masih belum dijelaskan,” katanya.

Menurutnya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Seri Manjung esok untuk permohonan reman bagi siasatan lanjut.



“Kes disiasat mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan dan Seksyen 188 Kanun Keseksaan,” katanya.

Terdahulu video yang memaparkan aksi empat kereta peronda polis mengejar sebuah kereta Perodua Kancil di Seri Manjung tular di media sosial sejak pagi tadi.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button