Mayat tanpa identiti hanyut dalam Sungai Kinta


ACP Ahmad Adnan Basri

08/01/2021 11:55 PM

IPOH, 8 Jan — Mayat seorang lelaki tanpa identiti dengan kesan kecederaan di beberapa bahagian badan ditemukan hanyut di Sungai Kinta di Tanjung Tualang, Batu Gajah pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah ACP Ahmad Adnan Basri berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada 11.30 pagi memaklumkan terdapat mayat dibawa arus Sungai Kinta dari arah Kampung Pisang ke Tanjung Tualang.



Beliau berkata anggota Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah yang tiba di lokasi telah menggerakkan operasi menarik mayat berkenaan yang hanya memakai seluar pendek berwarna hitam bercorak.

“Si mati dianggar berusia dalam lingkungan 40an. Terdapat beberapa kesan kecederaan pada bahagian badan, kaki, tangan dan kepala.

“Mangsa didapati telah hanyut dalam Sungai Kinta kurang 24 jam berdasarkan keadaan mayat yang masih elok dan cukup semua bahagian anggota tubuh badan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Ahmad Adnan berkata keputusan ujian calitan COVID-19 ke atas mayat akan diketahui Isnin ini dan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian dijalankan pada hari sama di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.



“Sehingga keputusan bedah siasat diperoleh, kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya sambil meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga tampil membantu siasatan.

2 beradik hilang, kenderaan hanyut



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button