2 ‘scammer’ dituduh beri, subahat rasuah polis

Oleh – Syeikh Baran


2 'scammer' dituduh beri, subahat rasuah polis
Gambar Hiasan

Dua individu disyaki ahli sindiket penipuan pinjaman tidak wujud dalam talian dituduh di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan memberi dan bersubahat memberi rasuah RM60,000 kepada pegawai kanan polis, tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh, Teo Teck Qing,26, dan Keong Kah Wai,19, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.



Teo didakwa secara rasuah memberikan suapan wang tunai RM60,000 kepada seorang pegawai polis berpangkat Deputi Superintendan yang bertugas di lbu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas tertuduh dan rakan-rakannya yang disyaki melakukan kesalahan aktiviti penipuan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(6) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama, jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Sementara itu, Keong pula didakwa bersubahat dalam pelakuan kesalahan oleh Teo yang memberikan suapan kepada pegawai kanan polis berkenaan bagi tujuan sama iaitu tidak mengambil tindakan ke atas Teo dan rakan-rakannya yang disyaki melakukan kesalahan aktiviti penipuan.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) ASPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 17(b) dan Seksyen 24(1) akta sama.



Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah kedai serbaneka di Simpang Point Fasa ll, Simpang Ampat, Alor Gajah, Pada 1 Jun 2023, kira-kira jam 1.15 tengah hari.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali mencadangkan jaminan RM80,000 bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan melaporkan diri di Pejabat SPRM Melaka sebulan sekali selain pasport diserah untuk simpanan mahkamah sehingga perbicaraan selesai.

Katanya, jumlah ikat jamin dan syarat tambahan ditawarkan adalah memadai bagi menjamin kehadiran tertuduh pada tarikh sebutan dan perbicaraan ditetapkan mahkamah kelam.

Peguam Umar Zulkarnain yang menyebut bagi peguam Daljit singh bagaimanapun merayu jumlah itu dikurangkan kerana kedua-dua tertuduh memberikan kerjasama penuh dalam siasatan.



Mahkamah menetapkan jaminan RM40,000 bagi Teo, manakala Keong, RM30,000 dengan seorang penjamin masing-masing berserta syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 21 Mei depan untuk pengurusan kes dan serahan dokumen.

Sumber – HARIAN METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button