Inspektor polis didakwa minta rasuah

16/02/2021 12:46 PM

IPOH, 16 Feb — Seorang pegawai polis berpangkat inspektor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meminta suapan antara RM1,000 dan RM1,500 pada 2019.

Firdaus Khalid, 37, Inspektor (D9) Risikan di Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Negeri Perak, didakwa melakukan kesalahan itu di Bahagian Siasatan Jenayah Balai Polis Kampung Tawas di sini pada 24 Jun 2019.

Tertuduh didakwa meminta suapan berjumlah RM1,000 hingga RM1,500 daripada Woo Kin Soo, 36, sebagai dorongan untuknya sebagai pegawai badan awam, menyediakan laporan pakar judi yang negatif bersabit satu kertas siasatan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam, Mohamad Salihen Mastor.

Nurul Wahida menawarkan wang jaminan RM20,000 selain perlu melaporkan diri sebulan sekali di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berhampiran.

Bagaimanapun, Mohamad Salihen memohon wang jaminan dikurangkan antara RM5,000 ke RM8,000 dengan alasan tertuduh memberi kerjasama yang baik sepanjang ditahan oleh pihak berkuasa selain mempunyai tanggungan isteri serta tiga orang anak.

Hakim S Indra Nehru membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Leave a Reply