Jepun bakal sumbang bantuan kemanusiaan AS$4.8 juta kepada Armenia, Azerbaijan


Foto: Celestino Arce Lavin/ZUMA Wire/dpa

16/02/2021 03:39 PM

TOKYO, 16 Feb — Jepun akan menghulurkan bantuan kemanusiaan bernilai US$4.8 juta (AS$1=RM4.03) kepada Armenia dan Azerbaijan berikutan krisis kemanusiaan akibat konflik bersenjata di republik Nagorno-Karabakh, lapor Agensi Berita Sputnik.

“Pada 16 Februari, kerajaan Jepun memutuskan untuk memberikan Bantuan Kecemasan sebanyak US$4.8 juta sebagai tindak balas terhadap krisis kemanusiaan yang disebabkan oleh konflik bersenjata antara Armenia dan Azerbaijan,” kata Kementerian Luar Negeri Jepun dalam satu kenyataan.

“Ia bertujuan memperbaiki persekitaran tempat tinggal seperti pemulihan tempat perlindungan dan sokongan perubatan, serta penyediaan bekalan bantuan melalui Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM), Program Makanan Dunia (WFP) dan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC),” katanya.

Sejumlah AS$3.6 juta akan diberikan kepada Armenia manakala Azerbaijan bakal menerima AS$1.2 juta.

Konflik bersenjata antara Armenia dan Azerbaijan di Nagorno-Karabakh kembali tercetus pada akhir September 2020, yang berlarutan sehingga mengorbankan orang awam.

Setelah beberapa usaha gencatan senjata yang tidak dipatuhi, akhirnya dengan Rusia sebagai perantara, persetujuan dicapai menerusi perjanjian tiga pihak pada 10 November 2020. Azerbaijan dan Armenia sepakat untuk gencatan senjata sepenuhnya dan membuat pertukaran tahanan dan mayat.

Yerevan juga memindahkan daerah Kalbajar, Lachin dan Agdam ke Baku. Sementara pasukan pengaman Rusia kini ditempatkan di wilayah itu.

Leave a Reply