Kerja pembinaan hab e-sukan kebangsaan bermula Mac – ESI

18/02/2021 06:37 PM

KUALA LUMPUR, 18 Feb — Esports Integrated (ESI) hari ini mengumumkan kerja-kerja pembinaan hab e-sukan kebangsaan di Spacerubix, Puchong, dekat sini, yang akan bermula bulan depan dan dijadual siap pada Oktober ini, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Ahmed Faris Amir.

Ahmed Faris dalam kenyataan hari ini berkata projek itu yang merupakan kesinambungan pengumuman peruntukan untuk sukan negara dalam Belanjawan 2020 bakal digunakan bagi tujuan membantu pertumbuhan e-sukan di negara ini dengan antaranya menyediakan ruang bagi menganjurkan acara serta kejohanan.



“Kita tidak boleh berhenti sekadar di takuk penganjuran kejohanan e-sukan atau pembentukan platform pusat semata-mata. Usaha itu perlu disusuli dengan hab fizikal yang berfungsi sebagai saluran organik untuk jaringan dan pusat pembelajaran.

“Pendekatan holistik adalah kaedah terbaik untuk memastikan pertumbuhan yang berterusan dalam industri dan hab e-sukan negara adalah langkah seterusnya, bersama dengan program pembinaan kapasiti kami,” katanya.

Beliau berkata selain itu ia disasar menjadi pusat latihan bagi kedua-dua pemain profesional dan amatur di samping menjadi hab jaringan untuk pemegang taruh industri dan hab utama bagi penganjuran program profesional dan pembangunan kapasiti.

Dalam kenyataan sama, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata hab itu akan dijadikan sebagai venue dan pusat latihan utama kontinjen e-sukan kebangsaan sebelum bertanding dalam pelbagai kejohanan antarabangsa.



Beliau turut menyeru peminat e-sukan tempatan untuk menggunakan kemudahan disediakan di hab e-sukan kebangsaan selain menyertai program latihan disediakan ESI.

Dalam pada itu, ESI memaklumkan projek itu sebahagian daripada pelaksanaan rangka kerja inklusif dan mapan untuk memacu pertumbuhan industri.

ESI turut bakal menjalankan siri program pembangunan kapasiti dan membangunkan rangka kerja pengawalseliaan yang efektif menerusi garis panduan e-sukan kebangsaan.

ESI adalah inisiatif baharu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang dikuasakan oleh Impact Integrated, sebuah agensi pemangkin strategik untuk inisiatif-inisiatif yang berteraskan belia dan sukan di bawah kawalselia KBS untuk mendorong pertumbuhan dan kepelbagaian dalam industri e-sukan tempatan.



Peruntukan RM700,000 untuk e-sukan dapat galak penyertaan golongan muda

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button