Muhammad Hakimi mahu lepas ‘geram’ sertai kejohanan di Eropah selepas Aidilfitri


Muhammad Hakimi Ismail

26/02/2021 06:28 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb — Setelah lebih setahun tanpa aksi kompetitif di peringkat antarabangsa, atlet lompat kijang negara Muhammad Hakimi Ismail memasang impian menamatkan kemarau itu dengan menyertai kejohanan di Eropah selepas sambutan Aidilfitri pada Mei depan.

Muhammad Hakimi yang kali terakhir beraksi di peringkat antarabangsa pada Sukan SEA 2019 di Filipina berkata kejohanan di Eropah itu akan digunakan sebaik mungkin dalam usaha menempah slot ke Sukan Olimpik Tokyo yang dijadual pada Julai ini.

“Jika tiada aral melintang dan dapat lampu hijau daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), saya harap dapat sertai kejohanan di Eropah nanti selain meneruskan latihan di sana.

“Ini kerana, suasana di Eropah seperti di Jerman sangat bagus dan saya percaya dapat membantu tingkatkan prestasi seterusnya meningkatkan peluang layak ke Olimpik 2020,” katanya kepada Bernama.

Pemenang tiga pingat emas berturut-turut Sukan SEA bermula di Singapura (2015), Kuala Lumpur (2017) dan Filipina pada edisi 2019 itu mengakui persiapannya melayakkan diri buat kali pertama ke Sukan Olimpik terjejas ekoran pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini.

Mengulas lanjut, pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 16.77 meter itu sedikit terkilan kerana banyak kejohanan sama ada di dalam atau luar negara terpaksa dibatalkan gara-gara penularan wabak itu.

“Situasi untuk layak ke Sukan Olimpik 2020 agak mencabar kerana banyak acara atau kejohanan khususnya di peringkat Asia dibatalkan termasuk pembatalan Kejuaraan Olahraga Asia di China pada Mei depan.

“Keadaan ini sangat berbeza dengan rakan saya, Nauraj Singh Randhawa (lompat tinggi) dan Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera) yang ketika ini berada di Eropah dan mereka beruntung kerana kejohanan di sana berjalan seperti biasa,” katanya.

Selain itu, memandangkan umurnya yang kian meningkat, atlet berusia 30 tahun dari Taiping, Perak itu tidak mahu impiannya ke temasya sukan terbesar dunia itu terpadam begitu sahaja dan yakin mampu mengerahkan kudrat untuk layak ke edisi 2024 di Paris, sekiranya gagal beraksi di Tokyo tahun ini.

Leave a Reply